182 laporan tipu tawaran kerja, 168 masih terkandas di luar negara

182 laporan penipuan tawaran pekerjaan, 168 masih terkandas di luar negara

Noorsiah Mohd. Saaduddin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 182 laporan polis diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan warga Malaysia diperdayakan sindiket penipuan kerja di luar negara sejak 2021 hingga 18 Ogos lalu. 

Jumlah tersebut melibatkan 238 mangsa yang 168 orang daripadanya masih terkandas di luar negara manakala 70 individu lagi telah diselamatkan. 

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkaya, terbaharu, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dan Task Force Majlis Antipenyeludupan Migran (Mapo) serta Kementerian Dalam Negeri telah menjalankan Op Pintas Daya pada 3 Ogos lalu. 

Katanya, hasil operasi tersebut, seramai enam termasuk dua wanita berusia 33 hingga 45 tahun ditahan. 

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 12 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

“Dalam operasi tersebut, pelbagai barangan telah dirampas termasuk komputer riba, modem dan lain-lain termasuk wang tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambahnya, hasil soal siasat mendapati mangsa telah diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di luar negara dengan gaji lumayan melalui Facebook. 

Jelasnya, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu akan berhubung dengan ejen melalui WeChat, WhatsApp Atau Messenger. 

“Selepas mendapat persetujuan, ejen memaklumkan akan menguruskan dan menanggung kos perbelanjaan perjalanan ke destinasi tertentu. 

“Setelah tiba, dokumen perjalanan mangsa akan dirampas dan dimusnahkan manakala telefon bimbit mangsa akan diperiksa sebelum dirampas. Mangsa dikurung dan pergerakan dikawal ketat,” ujarnya. 

Tambahnya, hal ini menyebabkan mangsa menyedari telah diperdaya dan dipaksa bekerja untuk sindiket perjudian dalam talian, scammer, pelaburan, Love Scam dan lain-lain penipuan. 

“Bagi mangsa yang terkandas, pihak PDRM sedang bekerjasama dengan Kementerian Luar Negara, Aseanapol dan Interpol untuk mengesan dan membawa pulang mangsa.

“Ahli keluarga atau kenalan yang mempunyai maklumat dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan jangan berurusan terus dengan sindiket atau orang tidak dikenali,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN