KANGAR: Seramai 18 orang calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 di negeri ini mendapat keputusan terbaik dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 sekali gus menunjukkan peningkatan besar berbanding tahun lalu.
Pengarah Pendidikan negeri, Naharudeen Othman berkata, pencapaian itu dilihat lebih baik berbanding keputusan STPM 2020 di mana hanya lima calon memperoleh PNGK 4.00.
Katanya, Perlis juga kekal mencatatkan keputusan cemerlang dalam STPM 2021 apabila Gred PNGK Negeri menunjukkan peningkatan sebanyak 0.17 iaitu daripada 2.84 ke 3.01.
“Malah negeri ini juga masih mengatasi PNGK Kebangsaan dengan merekodkan jumlah 3.01.
“Calon dari negeri ini turut mencipta sejarah kerana tiada yang gagal di semua Pusat Peperiksaan Tingkatan 6 bagi dua tahun berturut-turut malah enam sekolah mencatat keputusan lulus penuh 100 peratus,” katanya ketika pengumuman keputusan STPM 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama (Perempuan) Kangar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Naharudeen berkata, seramai 378 calon hadir menduduki peperiksaan STPM 2021 dan daripada jumlah itu, 374 mencatatkan keputusan lulus penuh dengan peningkatan sebanyak 0.02 peratus.
Menurutnya, terdapat sembilan mata pelajaran yang ditawarkan dalam STPM 2021 menunjukkan peningkatan iaitu Pengajian Am, Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Sejarah, Syariah, Pengajian Perniagaan, Ekonomi, Matematik Tambahan, Information and Communication Technology (ICT) dan Fizik.
“Selain itu, terdapat empat mata pelajaran mencapai kelulusan 100 peratus iaitu Biologi, Fizik, Sains Sukan dan Seni Visual,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Naharudeen berkata, calon STPM 2021 di negeri ini masih berjaya merekodkan keputusan cemerlang walaupun negara terpaksa berdepan pandemik Covid-19 sebelum ini.
Tambahnya, pelbagai usaha dilakukan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia bersama Jabatan Pendidikan negeri dan pihak berkaitan antaranya dengan membuat jadual peperiksaan ganti kepada calon terkesan dengan wabak berkenaan.
“Penglibatan pengetua, guru-guru, kerajaan negeri dan semua pihak berkaitan telah membantu kepada kejayaan ini dan ia diharap dapat menjadi pemangkin kepada kejayaan lain pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN