171,000 diesel seleweng bernilai RM342,180 dirampas

171,000 diesel seleweng bernilai RM342,180 dirampas

S. JEGAN (kanan) melihat demonstrasi menyalurkan minyak diesel daripada tangki yang diubah suai ke dalam tangki simpanan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seramai empat lelaki warga tempatan ditahan manakala sebanyak 171,000 liter minyak diesel yang dianggarkan bernilai RM342,180 dirampas dalam serbuan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang di sebuah stor di Bukit Minyak, di sini semalam.

Pengarah PPDNHEP negeri, S. Jegan berkata, dalam serbuan itu sebuah lori kanvas dan tiga buah lori tangki bernilai RM190,000 turut disita dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM532,180.

Terdahulu katanya, serbuan kira-kira pukul 9.45 pagi itu dibuat selepas risikan selama empat hari dilakukan pihaknya.

Jegan berkata, semasa diserbu pihaknya berjaya menemukan lori kanvas dengan muatan 10 tan yang turut memuatkan lapan unit tong plastik kosong berkapasiti 1,000 liter setiap satu yang telah diubah suai di dalam kenderaan itu di premis terbabit.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat lima buah ‘skid tank’, dua lori ‘bonded’, dua lori kargo dan lima lori tangki di dalam premis yang sama.

“Kesemua lima ‘skid tank’ dan tiga daripada lori tangki itu didapati menyimpan barang kawalan berjadual iaitu minyak diesel dengan jumlah anggaran 171,000 liter iaitu melebihi had simpanan yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Jegan, hasil soal siasat mendapati, pemilik premis itu menipu apabila mengisytiharkan mereka hanya memiliki sejumlah 35,000 liter diesel bersubsidi dalam simpanan iaitu jumlah yang dibenarkan.

Sehubungan itu katanya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama untuk individu.

“Bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan.

“Sementara itu, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan jika sabit kesalahan bagi pertubuhan atau perbadanan yang berkenaan,” ujar beliau.

Tambahnya, ini merupakan rampasan terbesar membabitkan diesel bersubsidi yang diseleweng di Pulau Pinang setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN