PUTRAJAYA: Sebanyak 137,813 daripada 336,630 calon yang menerima Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, ditawarkan untuk menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) bagi sesi kemasukan sesi akademik 2022/2023.
Mereka merupakan sebahagian daripada 237,161 calon lepasan SPM yang memohon untuk mengikuti pengajian peringkat asasi, diploma dan sijil.
Seramai 100,891 calon yang layak terima sijil peperiksaan itu pula dikenalpasti memilih laluan pendidikan lain sama ada menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan, Tingkatan Enam dan institusi pengajian tinggi Swasta (IPTS) atau terus memasuki bidang pekerjaan.
Sebanyak 407,097 calon menduduki SPM 2021 dan berdasarkan keputusan yang dikeluarkan Mac lalu, seramai 336,630 calon layak menerima sijil iaitu mereka yang memperoleh sekurang-kurangnya lulus dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut syarat pensijilan SPM yang ditetapkan mulai tahun 2013.
Sementara itu seramai 43,703 calon memperoleh keputusan kombinasi gred dan 1,655 calon memperoleh keputusan semua gagal.
Perkembangan itu sekali gus menimbulkan persoalan ke mana hala tuju mereka yang gagal menyambung pengajian dan juga gagal dalam semua mata pelajaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr. Husaini Omar berkata, tawaran itu melibatkan kemasukan ke 18 universiti awam, 36 politeknik dan 105 kolej komuniti.
Katanya, empat ILKA pula adalah di bawah Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar di seluruh negara.
“Jumlah ini belum mengambil kira tawaran rayuan yang sedang diproses dan akan dihebahkan pada minggu akhir bulan ini.
“Berdasarkan permohonan rayuan UPUOnline yang dibuka pada 22 hingga 31 Julai lalu, sebanyak 30,733 permohonan daripada calon lepasan SPM diterima bagi kemasukan ke program pengajian asasi dan Diploma IPTA,” katanya di sini semalam.
Dalam pada itu, Husaini berkata, calon juga boleh memohon semula UPUOnline pada Sesi Akademik 2023/2024 akan datang dan KPT tidak menyenaraihitamkan calon-calon yang tidak berjaya atau menolak tawaran pada Sesi Akademik 2022/2023.
Ini termasuk mereka boleh menggunakan keputusan Matrikulasi, STPM dan Diploma menerusi UPUOnline untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda di 20 Universiti Awam.
Menurut beliau, calon juga boleh memohon terus kepada IPTA dan ILKA yang berkenaan melalui saluran ambilan yang disediakan bagi kemasukan Semester ke-2.
Pada masa sama, kementerian juga menyediakan laluan alternatif untuk kemasukan ke IPT melalui laluan Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) atau dikenali sebagai APEL.A. Laluan APEL.A untuk kemasukan ke program pengajian di IPT tidak memerlukan sebarang kelayakan formal. – UTUSAN










