10,000 pengunjung meriahkanAmbang Merdeka  Terengganu

10,000 pengunjung meriahkan sambutan Ambang Merdeka  Terengganu

PERCIKAN bunga api menghiasi ruang udara sempena Sambutan Ambang Merdeka 2022 peringkat negeri Terengganu berlatar belakang Jambatan Angkat Kuala Terengganu, malam tadi. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hampir 10,000 pengunjung membanjiri Dataran Muara Utara Jambatan Angkat di sini, bagi meraikan  Sambutan Ambang Merdeka 2022 peringkat negeri, malam tadi.

Pelbagai persembahan disajikan kepada pengunjung menjelang detik tengah malam antaranya persembahan nyanyian kumpulan nasyid, artis-artis tempatan dan kumpulan kesenian Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu serta deklamasi sajak oleh penggiat seni sastera.

Sebelum itu, sambutan itu dimulakan dengan forum agama bertajuk ‘Merdeka Jiwa, Sejahtera Ummah’ yang menampilkan bekas Mufti Negeri Terengganu, Datuk Zulkifly Muda dan personaliti dakwah, Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang sebagai ahli panel.

Anggota Rejimen 512 Askar Wataniah selepas itu berarak masuk membawa Jalur Gemilang dan diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Satiful Bahari Mamat yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Satiful kemudian menyerahkan bendera kebangsaan itu kepada Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebelum upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh Pasukan Simpanan TLDM menandakan tepat pada pukul 12 malam disusuli nyanyian lagu Negaraku dan laungan ‘Merdeka’.

Orang ramai yang hadir meraikan sambutan tersebut juga teruja dengan pertunjukkan bunga api. Sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri Terengganu bertema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ itu pula disambut di Dataran Batu Buruk, di sini, pagi ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya