Zahidi tegur kerajaan negeri paksa duti hiburan melampau

Zahidi tegur kerajaan negeri paksa duti hiburan melampau

ZAHIDI Zainul Abidin bercakap dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Supertele Penanggal Mak Kiah di Lanai Asmara, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan negeri yang mengenakan duti hiburan amat tinggi ke atas setiap tayangan filem di pawagam disaran mempertimbangkan untuk menurunkan kadar berkenaan.

Teguran itu disuarakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin ekoran rungutan penggiat filem tempatan ke atas isu cukai tersebut yang melampau.

“Saya berterima kasih kepada masyarakat dan warganet yang prihatin terhadap isu ini tetapi perkara itu terletak di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dikawal kerajaan negeri terbabit.

“Justeru, kita rayu mereka tolong jangan tekan sangat sampai ada cecah 25 peratus sebab ini akan bantut industri kandungan kreatif domestik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan filem komedi seram, Penanggal Mak Kiah terbitan Darraz Empire Production Sdn. Bhd. yang bakal disiarkan sebuah stesen berbayar pada Oktober depan.

Isu duti hiburan menjadi perhatian susulan pendedahan aktor veteran, Nam Ron melalui media sosial yang mendakwa pengeluar ditindas walaupun filem merekodkan keuntungan besar.

Ia susulan kejayaan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang muncul sebagai filem tempatan terlaris dalam sejarah dengan kutipan ‘pecah panggung’ RM53 juta selepas 13 hari tayangan.

Perkara ini malah pernah dibangkitkan oleh pengarahnya sendiri, Syamsul Yusof semasa sesi dialog dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pada awal Januari lalu.

Ketika ini, duti itu dikenakan antara 20 sehingga 25 peratus daripada jualan tiket di pawagam, iaitu kadar tertinggi di dunia, kecuali Sabah yang tidak pernah melaksanakan cukai tersebut.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata, beliau pada dasarnya bersetuju cukai itu diturunkan mungkin kepada cuma 10 peratus sebagai pendapatan PBT kerana dianggap masih agak munasabah.

“Saya saran pihak persatuan filem buat perbincangan dengan pihak kerajaan negeri kerana duti ini bukan sahaja pawagam, bahkan busker (penghibur jalanan) pun kena juga,” katanya kesal.

Langkah itu ujarnya, disifatkan amat tidak berperikemanusiaan kerana kelompok orang kurang upaya tersebut tiada pun pendapatan tetap dan duti sedemikian amat tidak wajar dikenakan.

Menyentuh isu pembahagian nisbah keuntungan jualan dengan pengusaha pawagam yang turut tidak adil kepada penggiat filem, beliau berkata, perkara itu juga boleh diperbincangkan.

Pihak operator pawagam jelasnya, ada rasional tersendiri kenapa kadar tinggi dilaksanakan tetapi isu berkenaan sebenarnya boleh dirunding dengan baik dalam situasi menang-menang.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan pengusaha premis itu bahawa ketika operasi pawagam ditutup kerana Perintah Kawalan Pergerakan, kerajaan banyak membantu mereka.

Sehubungan itu, Zahidi meminta mereka agar dapat lebih bertimbang rasa dan bukan hanya memikirkan isu keuntungan jangka pendek kerana rakyat kini ada pelbagai medium hiburan.

“Kita faham sebelum ini mereka rugi teruk sampai ada nazak hendak muflis lebih setahun lalu tetapi kini tolong balik pihak industri filem supaya dapat pulih bangkit semula,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN