Yasin terlepas hukuman mati 

Yasin terlepas hukuman mati 

YASIN Sulaiman diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor,  hari ini. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi nasyid dan komposer terkenal, Yasin Sulaiman berkemungkinan bakal dibebas dengan jaminan selepas Mahkamah Majistret di sini, hari ini melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram.

Bagaimanapun, permohonan berkaitan ikat jamin itu hanya didengar pada 22 Ogos ini.

Sebelum ini, pelantun lagu Mimpi Laila itu didakwa mengedar dadah kanabis anggaran berat 214 gram pada pukul 5.30 petang, 24 Mac lalu di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum 39B(2) akta sama yang memperuntukkan penjara seumur hidup atau gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Majistret Muhammad Iskandar Zainol melepas tanpa membebaskan Yasin daripada pertuduhan mengedar dadah selepas Pengarah Pendakwaan Selangor, Khairul Azreem Mamat mengemukakan permohonan tersebut.

Khairul Azreem turut memberitahu penyanyi lagu Kerna Dia itu akan dituduh semula atas pertuduhan baharu di Mahkamah Sesyen. 

Peguam-peguam bela, Ariff Azami Hussein, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff dan Azizul Syariman Mat Yusoff yang mewakili Yasin tidak membantah permohonan itu.

Selepas Mahkamah Majistret melepas tanpa membebaskan Yasin daripada pertuduhan mengedar, pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan baharu terhadap penyanyi itu di mahkamah sama.

Mengikut pertuduhan, Yasin didakwa memasukkan dadah jenis ‘11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ (THC) pada pukul 11.05 malam, 24 Mac lalu di Pejabat Narkotik Ibu pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, dekat sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, mengikut pertuduhan baharu, Yasin didakwa memiliki dadah kanabis  seberat 193.7 gram pada pukul 5.30 petang, 24 Mac lalu di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini. 

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 6 ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Yasin mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Di mahkamah yang sama, pihak mendakwaan turut memohon satu tarikh lain bagi serahan dokumen bagi pertuduhan membabitkan penanaman 17 pokok ganja oleh Yasin. 

Mengikut pertuduhan, Yasin didakwa menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada masa, tarikh dan tempat sama. 

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, ahli keluarga Yasin termasuk abangnya, Zain Sulaiman dan anak perempuan penyanyi itu berusia 14 tahun hadir.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, polis menahan penyanyi nasyid kerana disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara dan menemukan satu bekas plastik berwarna biru atau hitam yang di dalamnya terdapat dua plastik lutsinar berisi daun kering disyaki ganja seberat 214 gram di dalam rumah berkenaan.

Hasil pemeriksaan lanjut di bahagian sebelah dapur menjumpai satu almari dan di dalamnya terdapat tiga pokok disyaki pokok ganja, 13 pokok dalam pasu disyaki pokok ganja di bilik pertama selain satu tumbuhan sama di balkoni.

Suspek mempunyai sejarah terlibat penagihan dadah lebih kurang 10 tahun lalu dan menanam pokok ganja selama dua bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya