Wukuf lancar, kesihatan jemaah memuaskan - Utusan Malaysia

Wukuf lancar, kesihatan jemaah memuaskan

JEMAAH dari seluruh dunia berkumpul di Jabal al-Rahmah sambil berdoa menjelang hari wukuf di Arafah semalam iaitu kemuncak kepada ibadah haji. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jumlah jemaah haji ta­hun ini yang kurang ber­ban­ding tahun-tahun sebe­lum­­nya memberi kelebihan kepada me­reka menunaikan ibadah dalam keadaan lebih selesa dan tenang, termasuk wukuf di Arafah.

Tahun ini, kerajaan Arab Saudi membenarkan hanya sejuta umat Islam dari seluruh dunia menunaikan ibadah haji selepas pelaksa­naannya ditangguh susulan pandemik Covid-19.
Pada tahun 2019, sebanyak 2.9 juta jemaah menunaikan ibadah tersebut.

Selain itu, suhu panas men­cecah 42 darjah Celsius tidak menghalang para jemaah menunaikan wukuf dalam ke­adaan tenang dan lancar.

Seramai sejuta umat Islam dari seluruh dunia berkumpul dan memanjatkan doa sepenuh hati ketika berada di Arafah bagi memohon keampunan dan ke­sejahteraan bersama.

Para jemaah akan terus berada di Arafah sehingga matahari terbenam sebelum bergerak ke Muzdalifah bagi menunaikan solat Isyak dan seterusnya bersedia melakukan rukun melontar.

Jemaah kemudiannya me­la­kukan perjalanan pulang ke Mina dan melontar di Jamrah al-Aqabah, Jamrah al-Wusta dan Jamrah al-Sughra.

Terbesar

Dalam pada itu, haji tahun ini yang disifatkan terbesar sejak pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu berjalan seperti yang dirancang tanpa sebarang masalah besar.

Berikutan suhu panas, pihak berkuasa Arab Saudi te­rus mengingatkan para jemaah supaya menjaga kesihatan termasuk minum air yang mencu­kupi bagi berdepan cuaca panas, selain peka dengan keadaan se­kiranya terkena strok haba.

Tahap kesihatan para jemaah yang menunaikan ibadah haji tahun ini turut dikategorikan se­bagai ‘memuaskan’ apabila kebanyakan jemaah dapat melakukan rukun haji dalam keadaan selamat dan lancar.

Dalam sidang akhbar di Mina kelmarin, jurucakap Kemente­rian Kesihatan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Haji dan Umrah memberi jaminan semua jemaah berada dalam keadaan baik tanpa melibatkan sebarang insiden besar.

Jurucakap kementerian kesi­hatan, Dr. Mohammed al-Abd al-Aly berkata, seramai 25,000 petugas kesihatan berkhidmat sepanjang musim haji berlang­sung di Mekah dan Madinah.

Katanya, sebanyak 23 hospital dengan 4,654 boleh digunakan oleh jemaah yang jatuh sakit atau memerlukan bantuan perubatan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,080 katil disediakan untuk pesakit yang memerlukan rawatan rapi dan 238 bagi mereka yang mengalami strok haba susulan cuaca panas ketika ini.

“Jangkitan Covid-19 masih ada, namun kami berjaya mengawal penularannya dalam ka­langan jemaah dan boleh dikatakan status kesihatan semua jemaah ketika ini adalah memuaskan,” katanya seperti yang dilaporkan Arab News.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN