KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan mengakui wujud sedikit kekeliruan berkait pelaksanaan penutupan premis perniagaan pada hari pertama sambutan Aidiladha lalu sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat di negeri.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, penutupan premis itu hanya melibatkan pasar raya dan tidak melihatkan premis-premis perniagaan lain.
“Mungkin ada salah faham dari segi pelaksaannya. Jadi kerajaan akan mengambil perhatian kepada perkara ini.
“Asasnya, keputusan tersebut dibuat kerajaan selepas mengambil kira keluhan yang dibuat oleh pekerja untuk menyambut hari raya apabila mereka tidak boleh bercuti,” katanya selepas menjawab soalan daripada salah seorang peserta semasa Program Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Kelantan di sini malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, secara peribadinya beliau berpandangan kebiasaan pada sambutan hari raya atau kebesaran agama-agama lain semua akan bercuti.
Katanya, sebagai contoh semasa sambutan Tahun Baharu Cina seluruh masyarakat berkenaan menutup premis perniagaan mereka.
“Biasanya hari pertama orang akan cuti dan menyambut hari raya masing-masing.
“Oleh yang demikian kita ambil perhatian dan mungkin akan memperkemaskan lagi pelaksanaan dasar supaya tidak jejaskan mana-mana pihak,” jelasnya.
Utusan Malaysia 11 Julai lalu melaporkan, semua premis perniagaan seperti pasar raya, restoran makanan segera dan kedai serbaneka di negeri ini menutup operasi sempena Hari Raya Aidiladha.
Ia selaras peraturan pihak berkuasa negeri tentang penutupan operasi pada hari raya pertama untuk membolehkan pekerja Muslim menyambut Aidiladha. – UTUSAN