Warta minyak masak botol: ambil kira kepentingan industri, pengguna

Warta minyak masak botol: ambil kira kepentingan industri, pengguna

ROSOL Wahid bergambar dengan hadiah utama sebuah kereta Proton X50 selepas merasmikan Majlis Praplancaran Cabutan Bertuah Belanja Dan Menang Program Jualan Malaysia Tahun 2022 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan pewartaan harga maksimum minyak masak tulen dalam botol yang akan diumumkan dalam masa terdekat mengambil kira situasi menang-menang antara pihak industri dan kebajikan pengguna.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, ia turut bergantung kepada hasil sesi libat urus bersama pemain industri yang sedang berlangsung ketika ini.

“Kita jaga kedua-dua pihak iaitu peniaga dan pengguna, kita ini duduk di tengah-tengah kerana tidak mahu peniaga tertekan dan merajuk akhirnya tiada bekalan kita pula yang susah.

“Dalam masa sama, kita juga tidak mahu pengguna teraniaya apabila ada yang mengambil untung berlebihan, bekalan dicatu dan sebagainya sebab itu perlu ada keseimbangan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Cabutan Bertuah Belanja dan Menang Program Jualan Malaysia Tahun 2022  di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Muar mengumumkan kerajaan akan mewartakan harga maksimum minyak masak tulen dalam botol bagi memastikan produk tersebut mempunyai harga maksimum dari semasa ke semasa.

Annuar berkata, langkah itu diambil setelah rundingan untuk menurunkan harga minyak dengan pihak industri terbabit tidak efektif walaupun harga minyak sawit dunia telah turun.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah alasan utama pihak industri tidak menurunkan harga minyak masak tulen, Rosol berkata, mereka menyatakan masih mempunyai stok bekalan lama.

“Ini isu yang sering diperkatakan pengguna dan kita amat prihatin, apabila bahan mentah naik, maka akan ada kenaikan harga barang (tetapi) apabila bahan mentah turun, harga minyak masak turun terlalu lambat jadi ini fenomena yang tidak sihat dan perlu ditangani.

“Ini bila kita minta turun (harga) dengan alasan stok lama masih ada dan ada yang kata tunggu konsultasi dengan pengilang.

“Bagaimanapun, kita dapati sesetengah negeri seperti di Perak, Kedah dan Pahang sudah turun (harga) tetapi ia tidak secara menyeluruh, kalau boleh kita nak ia seragam,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN