KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) akan mengubah perlembagaan parti pada bulan depan selaras dengan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti yang telah diluluskan di Parlimen pada Khamis.
Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau akan memastikan apa yang termaktub dalam perubahan perlembagaan di peringkat Parlimen akan diselarikan dengan perjuangan parti.
Maka, beliau telah meminta Setiausaha Agung, Datuk Loretto S. Padua dan Timbalan Presiden, Datuk Darell Leiking supaya memperhalusi kandungan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang masih memerlukan sedikit penambahbaikan.
Secara umumnya, beliau melihat kandungan RUU itu masih perlu penambahbaikan kerana ada kandungan yang tidak begitu jelas untuk mengelakkan kejadian lompat parti berulang.
Walau bagaimanapun katanya, perlu ada titik permulaan untuk pelaksanaan undang-undang tersebut. Itu sebabnya, semua wakil rakyat bersetuju tanpa mengira ideologi politik dan kepercayaan agar RUU ini diluluskan.
Katanya, beliau juga telah memberitahu Presiden parti-parti gabungan sama ada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) supaya melaksanakan Undang-undang Anti Lompat Parti di negeri-negeri mereka memerintah.
“Saya tahu perlu ada reform demi kestabilan politik negara tapi ia akan mengambil masa sedikit. RUU yang ada pada hari ini, membolehkan gabungan parti dilakukan dan orang yang melompat masih boleh bertanding semula.
“Sepatutnya tidak boleh bertanding, sekurang-kurangnya satu penggal (lima tahun) sebagai hukuman.
“Biarpun RUU ini sudah diluluskan di Dewan Rakyat namun, saya berharap ia tidak setakat itu,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Warisan Bahagian Kota Belud hari ini.
Tambah beliau, RUU Anti Lompat Parti itu juga perlu dibentangkan segera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Semestinya ia perlu dibawa ke peringat DUN kerana insiden melompat parti banyak berlaku di peringkat negeri hingga menyebabkan berlaku perubahan kerajaan.
Ahli Parlimen Semporna itu berkata, dakwaan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Sabah (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa Warisan punca ADUN BN lari hingga kerajaan BN tumbang pada 2018, beliau berkata, kerajaan dibentuk Bersatu di Sabah juga tidak cukup jumlahnya.
“Hajiji (Datuk Seri Hajiji Noor) pun bukan cukup jumlah, mana mungkin jumlah kecil 11 kerusi DUN boleh menjadi Ketua Menteri, berbanding UMNO yang mempunyai 14 kerusi,” katanya.- UTUSAN