Warga PPR Permai rayu baiki segera lif rosak

Warga PPR Permai rayu baiki segera lif rosak

PENGHUNI Blok B PPR Permai termasuk warga emas dan murid-murid sekolah mengalami kesukaran apabila dua lif di flat berkenaan mengalami kerosakan sejak Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sesekali mendaki dan menuruni puluhan anak tangga pun ramai yang mengeluh, inilah pula ratusan setiap hari kena naik tangga akibat lif rosak.

Namun, itulah rutin yang terpaksa dialami kira-kira 4,000 penghuni Blok B, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, Kempas di sini ekoran kesemua lif yang terdapat di flat tersebut me­ngalami kerosakan sejak Isnin lalu.

Seorang penduduk, Mohd. Reza Rahani, 47, dan anak-anak terpaksa mendaki ratusan anak tangga untuk pulang ke rumah­nya di tingkat 13 blok berkenaan.

Lebih perit, mereka terpaksa menggunakan tangga sekurang-kurangnya empat kali sehari sehingga menyebabkan sakit kaki.

“Anak-anak mengeluh sakit kaki dan penat kerana terpaksa berulang-alik ke sekolah kerana perlu menduduki peperiksaan pertengahan tahun.

“Sekiranya perkara ini berlarutan, ia akan mengganggu rutin ha­rian penduduk. Kami berharap masalah ini dapat diatasi segera,” katanya ketika ditemui di sini.

Ketua blok, Ibrahim Ismail ber­kata, penduduk terutamanya go­longan peniaga, pelajar, warga emas dan mereka yang mempu­nyai masalah kesihatan berdepan kesulitan untuk turun naik blok itu.

Katanya, sebelum ini dua lif di bangunan itu pernah rosak, namun tidak secara serentak dan penghuni masih boleh menggunakan salah sebuah daripadanya.

Malangnya, kini kedua-dua lif tersebut rosak dan penduduk tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa menggunakan tangga.

“Bayangkan keadaan warga emas yang tinggal di tingkat 10 hingga 17, betapa sukarnya ke­adaan mereka untuk pulang ke rumah. Itu tidak termasuk lagi sekiranya mereka membawa beban atau barang.

“Kami sudah suarakan isu ini kepada pihak kontraktor penyelenggaraan lif, namun hingga kini belum menerima maklum balas positif daripada mereka.

“Selain dua unit lif berkenaan, terdapat sebuah lagi lif baharu yang siap dibina, namun masih belum boleh digunakan dengan alasan ia belum dirasmikan,” katanya.

Sementara itu, Mukhtar Abdullah, 68, mengaku mengalami sakit kaki dan lutut apabila turun naik menggunakan tangga dari rumahnya di tingkat 11.

“Keadaan ini amat mencabar buat kami warga emas untuk turun naik tangga setinggi itu. Kami bimbang jika berlaku kes kecemasan pada waktu ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap pi­hak pengurusan flat ketika di­hubungi memberitahu, tanggung­jawab menyelenggara lif di bawah tanggungjawab syarikat kontraktor yang dilantik oleh Kementerian

Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan bukan pihaknya.

“Tetapi kami turut hubungi kontraktor yang dilantik bagi mendapatkan maklumat. Mereka beri jaminan kerosakan akan dibaik pulih segera,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya