IPOH: Wanita yang didakwa menghina agama Islam ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi di Kuala Lumpur, baru-baru ini perlu bertaubat atas perbuatannya.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perbuatan wanita itu jelas menghina agama sendiri dan perlu kembali ke pangkal jalan.
Beliau berharap golongan belia di negara ini bertenang dan tidak memarahi wanita itu atas perbuatannya sebaliknya memperbaiki diri sendiri.
“Perbuatan membuka baju sahaja sudah menjadi perbuatan yang tidak baik. Apabila berbuat demikian dan mengaku seorang Islam, membuka tudung, baju di hadapan orang ramai, ini bukan sifat seorang manusia.
“Manusia mesti ada rasa malu, kalau dah tak ada rasa malu, kita dah letak diri kita setaraf dengan makhluk tidak mempunyai akal yang Allah ciptakan.
“Ini perkara yang perlu kita jauhi, saya harap anak kita yang lakukan perkara itu bertaubat, jangan hina agama sendiri, jangan jolok hati dan perasaan rakan lain yang beragama Islam dan kembali ke pangkal jalan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada program Kenduri Rakyat AidilAdha PN Perak di Manjoi di sini hari ini.

AHMAD Faizal Azumu (tiga dari kanan) pada program Kenduri Rakyat AidilAdha PN Perak di Manjoi, Ipoh, Perak, hari ini.
Ahmad Faizal menasihatkan golongan belia agar tidak memarahi wanita tersebut sebaliknya memperbaiki diri sendiri.
“Tak payah nak marah tak tentu arah, tengok diri kita, diri kita pun banyak boleh diperbaiki dan dalam masa sama kita kutuk perbuatan menghina agama, seperti berbangga menayangkan batang tubuh sendiri, sifat negatif itu perlu dijauhkan, cari sifat-sifat yang baik dan praktikkan,” katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi 54 saat menunjukkan seorang wanita tampil berpakaian sopan dalam satu majlis di sebuah kelab malam di Petaling Jaya, Selangor.
Dalam video berkenaan, wanita itu mendakwa dirinya beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba dia menanggalkan baju kurung serta tudungnya hingga mendedahkan auratnya. – UTUSAN