Wan Saiful persoal kedudukan Ketua Penerangan UMNO

Wan Saiful persoal kedudukan Shahril Hamdan susulan pendedahan UKSB

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mempertikaikan kedudukan dan jawatan Pengarah Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Shahril Hamdan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wan Saiful mempersoalkan kedudukan Shahril, yang juga Ketua Penerangan UMNO, yang terdedah kepada kemungkinan mengambil dana dari syarikat yang berurusan dengan kerajaan.

Kenyataan tersebut dibuat selepas bekas Pengurus Pentadbiran Ultra Kirana Sdn. Bhd. (UKSB) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, syarikat itu memberi sumbangan dana RM1.16 juta kepada Shahril untuk tujuan politik dan Pilihan Raya Umum (PRU), ketika perbicaraan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Sekarang sudah pecah rahsia bahawa Shahril ini perangai dia sama dengan boss sebenarnya, Zahid Hamidi. 

“Dengan akses kepada maklumat-maklumat sensitif berkaitan kontrak kerajaan, jawatan di Pejabat PM membuka ruang untuk Shahril mengambil dana dari syarikat yang berurusan dengan kerajaan. 

“Siapa boleh beri jaminan bahawa hari ini Shahril tidak mengambil duit dari syarikat-syarikat yang ada kontrak dengan kerajaan secara senyap-senyap?” soal Wan Saiful di dalam halaman Facebook beliau.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob wajar memansuhkan jawatan yang disandang Sharil, sebagai menyahut hasrat kerajaan supaya berjimat-cermat.

“Apa sebenarnya yang Shahril Hamdan buat sebagai Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri?  

“Kementerian Kewangan sudah ada. Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri juga sudah ada. Tak perlu jawatan tambahan untuk spy Zahid Hamidi ini.

“Kerajaan kata nak buat penjimatan. Perdana Menteri boleh mulakan dengan memansuhkan jawatan Pengarah Ekonomi kerana ia menjadi salah satu lambang keborosan untuk manfaat kluster mahkamah dalam UMNO dan pengikut mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN