UMNO perlu terima apa jua keputusan RoS - Utusan Malaysia

UMNO perlu terima apa jua keputusan RoS

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Hanya dua kemungkinan akan berlaku kepada UMNO dalam menghadapi  keputusan permohonan meminda perlembagaan parti berkaitan pemilihan yang akan diputuskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selewat-lewatnya Sabtu ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, belum ada sebarang keputusan dibuat jabatan itu sehingga kini sama ada menerima usul yang diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas parti atau sebaliknya.

“Setakat ini kita tidak dapat lagi (keputusan) tetapi ada orang lawan teka sekarang ini, tetapi pada saya tak perlu keterlaluan, kita tunggu keputusan. Bila keputusan keluar pada waktu itu kita terima keputusan apa yang diputuskan.

“Ada dua sama ada diluluskan atau tidak diluluskan, itu sahaja. Kalau tidak lulus pemilihan kena buat, lepas itu baru pilihan raya, kalau lulus mungkin boleh pilihan raya dahulu baru boleh pemilihan,” katanya selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu di Kampung Padang Setol, hari ini.

Terdahulu, RoS dalam kenyataan ringkas berkata, keputusan berhubung permohonan pindaan Perlembagaan UMNO akan diketahui selewat-lewatnya pada 16 Julai ini berhubung pindaan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang memberi tempoh untuk parti melanjutkan pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

Pada 15 Mei lalu, seramai 2,586 perwakilan UMNO daripada 192 bahagian seluruh negara yang menghadiri PAU Khas di ibu negara sebulat suara meluluskan usul pindaan Perlembagaan UMNO.

Bagaimanapun Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memiliki kebijaksanaan dalam berhadapan kemungkinan berkenaan.

Dalam pada itu, ketika ditanya cadangan Pemuda UMNO agar Parlimen dibubarkan sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus mendesak jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau berkata, pelantikan itu adalah hak Ismail Sabri.

“Saya punya komen jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah prerogatif Perdana Menteri, pilihan raya itu pun hak Perdana Menteri juga. Pemuda UMNO boleh desak tetapi bagi saya untuk lantik Timbalan Perdana Menteri ini prerogatif Perdana Menteri.

“Biar beliau putuskan walaupun ada MoU (memorandum persefahaman) atau apa sekalipun, biar Perdana Menteri yang tentukan termasuk juga dalam soal pilihan raya. Beliau ada laporan, tahu apa yang berlaku di persekitaran dan di peringkat antarabangsa, jadi Perdana Menteri boleh putuskan berdasarkan maklumat yang ada,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya