PETALING JAYA: Tuduhan yang dilemparkan Datuk Wan Saiful Wan Jan terhadap Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semalam disifatkan sebagai satu penghinaan buat institusi itu dan petugasnya.
Bekas Ahli Lembaga Pengarah PTPTN, Tan Sri Johan Jaafar berkata, Wan Saiful angkuh tidak bertempat sedangkan sumbangannya sepanjang empat tahun menerajui institusi itu hanya ibarat gendang kosong yang dipalu.
Katanya, bekas Pengerusi PTPTN itu bukan sahaja tidak memahami budaya kerja, malah lebih buruk lagi apabila tidak menghargai sumbangan lembaga pengarah terdahulu.
“Beliau terlupa prestasi paling cemerlang institusi ini adalah pada tahun-tahun sebelum beliau menjadi Pengerusi.
“Saya juga kesal dengan kenyataan kononnya institusi ini dipolitikkan oleh individu tertentu sedangkan beliau sendiri menggunakan PTPTN sebagai wahana atau alat mempromosikan diri dan agenda politik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selasa lalu, Wan Saiful mengesahkan kontraknya sebagai Pengerusi PTPTN berakhir pada 17 Jun selepas dilantik sejak 2018.
Johan berkata, PTPTN mencatatkan jumlah pungutan hutang tertinggi dalam sejarah penubuhannya pada 2017 apabila institusi itu berjaya memungut sejumlah RM3.8 bilion.
Sementara itu, beliau berbangga berkhidmat dengan ahli lembaga pengarah PTPTN terdahulu termasuk bekas Pengerusi, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.
Katanya, walaupun Shamsul Anuar merupakan lantikan politik, tetapi pemimpin itu menunjukkan profesionalisme tinggi dan komitmen yang luar biasa.
“Salah satu tindakan dilakukan oleh menteri bertanggungjawab pada ketika itu adalah menamatkan perkhidmatan sebahagian besar ahli lembaga pengarah dan walaupun saya dikekalkan tetapi saya meletak jawatan setelah hanya sekali menghadiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Wan Saiful,” katanya. – UTUSAN