MELAKA: Seorang lelaki meninggalkan teman wanitanya di tepi jalan selepas ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam sekatan jalan raya di Jalan Syed Abdul Aziz di sini, semalam.
Individu berusia 28 tahun itu antara enam yang ditahan selepas saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.
Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Sharif berkata, operasi selama empat jam berakhir pukul 12 tengah malam itu diadakan sempena cuti Aidiladha.
Katanya, hasil pemeriksaan, sebanyak 920 buah kenderaan diperiksa dengan 50 individu termasuk pemandu dan penumpang diarahkan membuat saringan air kencing.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 332 buah kenderaan dikenakan tindakan saman dan enam individu ditahan penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selepas dikesan positif dadah.
“Turut ditahan sebuah kereta dinaiki sepasang kekasih dan pemandu lelaki berusia 28 tahun itu didapati positif ganja, manakala teman wanitanya negatif,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat operasi.
Ketika kejadian, teman wanita lelaki itu dilihat merayu kepada penguat kuasa supaya melepaskan kekasihnya dengan alasan tidak mempunyai kenderaan pulang ke rumah di Masjid Tanah dekat sini.
Wanita lingkungan usia 30-an itu dilihat berlegar-legar hampir 20 minit dan turut meminta beberapa penguat kuasa menghantarnya pulang, sebelum dijemput individu lain.
Dalam pada itu Muhammad Firdaus menambah, secara keseluruhan sebanyak 360 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk 125 saman membabitkan cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
“Ia diikuti cermin gelap (92), tiada lesen memandu (75) dan nombor pendaftaran dan lain-lain kesalahan masing-masing 34 kesalahan,” katanya. – UTUSAN