Tindakan licik sindiket penyelewengan diesel tumpas - Utusan Malaysia

Tindakan licik sindiket penyelewengan diesel tumpas

MOHAMAD Amir Abdullah menunjukkan dua tangki tambahan dan tong jerry can yang terdapat pada kenderaan pacuan empat roda menerusi serbuan di sebuah stesen minyak di Kangar, Perlis, semalam. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Tindakan licik sindiket penyelewengan diesel bersubsidi iaitu melakukan pengubahsuaian terhadap tangki kenderaan bagi mengisi minyak tumpas setelah ditahan pihak berkuasa dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, pihak berkuasa turut menemukan enam tong jerry can kosong di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai digunakan bagi mengisi bahan kawalan tersebut seterusnya dijual di negara jiran.

Dalam serbuan itu, sebanyak 500 liter diesel, enam tong jerry can dan sebuah pacuan empat roda disita dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM22,135.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Mohamad Amir Abdullah berkata, menerusi siasatan awal, sindiket tersebut dikenal pasti melakukan pengubahsuaian terhadap kenderaan pacuan empat roda tersebut dengan menambah dua tangki tambahan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Hasil siasatan juga mendapati terdapat transaksi pembelian diesel secara tunai kepada stesen minyak tersebut oleh seorang suspek warga tempatan berusia sekitar 30-an,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat KPDNHEP Perlis di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Amir berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah dengan melakukan pembelian diesel di beberapa buah stesen minyak di negeri ini dan dijual semula kepada pihak ketiga.

Katanya, kebanyakan sindiket ini juga dikesan melakukan pengubahsuaian tangki di Thailand dengan kos sekitar RM1,000.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB)1961 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih RM1 juta manakala kesalahan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM3 juta buat orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun.

“Bagi syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta ringgit,” katanya.

Tambah Mohamad Amir, KPDNHEP negeri turut memberi amaran keras terhadap mana-mana individu dan pengusaha stesen minyak di negeri ini agar mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN