JEMPOL: Tiga orang individu yang merupakan suspek dipercayai mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Mahsan, Bandar Seri Jempol, di sini pada Rabu lalu, berjaya ditangkap polis.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kesemua mereka ditangkap selepas hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol bagi membantu siasatan pada pukul 11.30 pagi tadi.
Menurutnya, suspek lelaki berusia 42 tahun mempunyai dua rekod lampau berkaitan jenayah dan satu rekod lampau berkaitan dadah.
“Polis merampas sebuah telefon bimbit dan kesemua tangkapan akan dimohon reman esok. Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, media melaporkan polis giat mengesan tiga individu yang mempunyai hubungan persaudaraan bagi membantu siasatan kes dera membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
Mangsa dera tersebut didapati mempunyai kesan melecur, lebam, luka, parut dan kecederaan lain pada keseluruhan badan.
Kanak-kanak tersebut kini dirawat dan dimasukkan ke wad Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah dan telah dirujuk kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jempol.- UTUSAN