Tiada tanda harga barang akan turun - Utusan Malaysia

Tiada tanda harga barang akan turun

Ketika kerajaan menyalurkan pelbagai inisiatif harga barang tidak menunjukkan tanda-tanda akan turun. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga barangan keperluan ketika ini tidak menunjukkan tanda untuk turun meskipun kerajaan sudah melaksanakan beberapa inisiatif untuk menanganinya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kenaikan harga barang dan makanan mungkin menjadi suatu norma baharu yang perlu diterima.

Menurut beliau, ini kerana kenaikan kos oeprasi sesuatu barangan itu menyebabkan kenaikan harga kepada pengguna.

Sehubungan itu, katanya, kenaikan ketika ini perlu diterima semua pihak terutama kerajaan tanpa menyalahkan mana-mana pihak yang terlibat dalam rantaian makanan termasuk kartel atau orang tengah.

“Keadaan yang berlaku di negara ini sudah tak nampak cahaya untuk penurunan harga sebab kita tak mahu akui harga yang betul dan munasabah untuk semua golongan.

“Sebenarnya apa yang diperlukan adalah satu harga yang munasabah kepada pengguna dan pengeluar. Contohnya, bolehkah harga nasi lemak dijual macam harga enam tahun lalu? Jadi kita kena buat keadilan kepada semua pihak.

“Kita sepatutnya kena bincang dengan pengeluar, bagaimana dari segi kos operasi mereka supaya dapat elakkan pengguna dan pengeluar jadi mangsa akibat penyelesaian yang diambil,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kenaikan

Mengulas lanjut, Dr. Jacob berkata, satu langkah drastik yang lebih positif perlu diambil dengan mengambil kira kenaikan kos operasi yang sedang berlaku itu.

“Bagi saya pasukan jihad itu sudah bagus, tetapi keanggotaannya perlu terdiri daripada mereka yang berpengalaman, berpengetahuan dan dapat meyakinkan masyarakat untuk mencari jalan penyelesaian.

“Kos operasi sudah naik, tetapi jika ia dianggotai orang politik, adakah mereka mempunyai political will untuk ambil tindakan (harga yang munasabah)? Contohnya, harga kawalan itu juga memberi satu gambaran yang negatif untuk semua golongan terutama kepada petani, penternak, nelayan dan golongan yang terlibat dalam membekal.

“Kita faham realiti baru, tetapi kita boleh menolong golongan sasaran dengan syarat bantuan itu betul-betul langsung kepada golongan sasaran dari data sedia ada, jangan ada yang tertinggal atau utamakan kroni,” jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan bantuan kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu terutamanya kepada golongan B40.

Katanya, ini kerana perkara yang berlaku ketika ini merupakan fenomena yang berlaku di seluruh dunia.

Namun, katanya, penguatkuasaan dan pemantauan perlu sentiasa dipergiatkan agar barangan kawalan itu tidak disalah guna serta tidak sampai kepada golongan sasaran.

“Aspek penguatkuasaan dengan pemantauan perlu lebih kerap untuk memastikan peruntukan subsidi kerajaan betul-betul sampai kepada tangan pengguna terutamanya golongan B40.

“Kita tak mahu ada keluarga berpendapatan sederhana beli (barang bersubsidi) kerana ini akan mengurangkan golongan B40 untuk menikmati subsidi itu,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN