Tiada kegiatan jual ikan di tengah laut di perairan Terengganu

Tiada kegiatan jual ikan di tengah laut di perairan Terengganu

SEBAHAGIAN bot nelayan yang berada di Jeti Seberang Marang, Marang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kegiatan menjual hasil tangkapan kepada nelayan asing di tengah laut  untuk meraih keuntungan berganda dipercayai tidak berlaku di perairan Terengganu. 

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu (Penentu), Mat Yassin Mohammed berkata, semua nelayan di negeri ini membawa pulang hasil laut ke darat dan tidak wujud aktiviti jual beli di tengah laut.

“Di negeri ini, pihak Penentu mendapati tiada kegiatan jual beli secara haram dilakukan oleh nelayan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan pemain gergasi industri perikanan yang menjadi orang tengah dan memonopoli sektor tersebut turut menjalankan kegiatan menjual hasil tangkapan kepada nelayan asing di tengah laut demi mengaut untung berlebihan.

Ia disahkan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang berkata, pihaknya sudah mengesan kegiatan tersebut sejak dahulu dan aktiviti yang sama masih berleluasa sehingga hari ini.

Selain itu, Mat Yassin berkata, penguatkuasaan yang ketat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Perikanan dan beberapa agensi lain menyebabkan tiada individu yang berani melakukan kegiatan haram tersebut. 

“Kalau ikan berkurangan pun, ia berlaku bermusim berikutan beberapa faktor seperti musim monsun, arus kuat dan cuaca yang tidak menentu,” katanya. 

Senada dengan Mat Yassin, seorang nelayan yang mahu dikenali sebagai Pak Usop, 74, berkata, sepanjang lebih 40 tahun turun ke laut, dia tidak pernah melihat berlaku kegiatan jual beli di tengah laut sekitar perairan daerah ini.

“Kebanyakan nelayan di sini adalah nelayan tradisional, memang tidak ada kartel dan apa-apa kegiatan jual beli di tengah laut. Semua hasil tangkapan dibawa balik ke darat.

“Lagipun, di sini memang penguatkuasa selalu adakan rondaan, terutamanya ketika musim candat sotong yang menarik perhatian nelayan asing untuk menceroboh masuk ke perairan Kemaman,” ujarnya.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia Terengganu  pula tidak menolak kemungkinan wujud kegiatan menjual hasil laut oleh nelayan tempatan kepada nelayan asing di perairan Terengganu.

Bagaimanapun, menurut sumber, sehingga kini, masih tiada tangkapan atau rampasan dibuat terhadap nelayan tempatan yang dipercayai terlibat.

Menurutnya, Maritim Malaysia lebih memberi fokus menjaga sempadan maritim di perairan negara melalui operasi pemantauan dan rondaan.

“Kita percaya kartel menjual ikan di tengah laut itu wujud dan berlaku di perairan Terengganu. Namun masih tiada tangkapan dilakukan terhadap bot-bot nelayan tempatan.

“Hal ini kerana Maritim Malaysia memberi tumpuan membanteras pencerobohan nelayan asing dan sebab itu hampir kesemua tangkapan melibatkan bot nelayan Vietnam.

“Jadi setakat ini tiada lagi bot tempatan yang ditahan kerana membawa keluar hasil laut ke sempadan negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN