Tasik Chini: Kerajaan Pahang sudah hantar laporan diperlukan UNESCO - Utusan Malaysia

Tasik Chini: Kerajaan Pahang sudah hantar laporan diperlukan UNESCO

MOHD. Sharkar Shamsudin (tiga dari kanan) menyempurnakan majlis pelancaran Acara Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 bertempat di Menara Kuantan 188 di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri telah menghantar segala laporan yang diperlukan bagi mengekalkan status Tasik Chini sebagai Rizab Biosfera (BR) Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kerajaan negeri juga telah melakukan penambaikan kepada Tasik Chini bagi memenuhi kriteria yang diperlukan untuk mengekalkan status terbabit.

“Perkara ini juga melibatkan kerjasama dari kerajaan Pusat di mana di peringkat kerajaan negeri, kita telah pun menghantar semua laporan diperlukan.

“Laporan telah kita beri dan apa sahaja untuk penambahbaikan juga kita telah buat. Jadi apa-apa pun kita akan tunggu keputusan dari pihak UNESCO sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan acara Pahang Ocean Paddle International Challenge 2022 di Menara Kuantan 188 di sini hari ini.

Menurut semakan berkala pertama UNESCO Tasik Chini, tasik itu tidak lagi memenuhi kriteria untuk menjadi sebahagian daripada Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR).

Laporan itu menyebut ‘kawasan hutan yang baru dibersihkan dengan penukaran tanah yang intensif’ berlaku, selain mengesan pembukaan semula lombong lama di sekitarnya.

Setahun selepas rizab biosfera ditetapkan, beberapa bekas tapak perlombongan yang terletak di titik kecerunan tinggi (Bukit Ketaya dan Bukit Chini) dibuka semula dan berkembang mengakibatkan kesan buruk alam sekitar seperti pemendapan, kemerosotan kualiti air dan kemerosotan tebing sungai.

Satu lagi punca utama kerosakan alam sekitar ialah penukaran guna tanah daripada ladang getah dan kawasan hutan kepada ladang kelapa sawit. Sebahagian daripada pengembangan ini berlaku dalam kawasan teras utama.

Penemuan itu dibentangkan di Majlis Penyelarasan Antarabangsa UNESCO di bawah program manusia dan biosfera (MAB) pada September tahun lalu, tetapi diterbitkan untuk akses awam dua bulan kemudian.

Sementara itu, Mohd. Sharkar yang merupakan Pengerusi Tourism Pahang berkata, Pahang bakal menjadi tumpuan dunia apabila menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa Pahang Ocean Paddle International Challenge Malaysia 2022 pada September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN