Tangguh, batal projek bantu stabilkan ekonomi - Mustapha - Utusan Malaysia

Tangguh, batal projek bantu stabilkan ekonomi – Mustapha

MUSTAPA Mohamed (dua kanan) beramah mesra dengan peserta seminar di Dewan Kampus USM Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Langkah menangguh atau membatalkan mana-mana projek yang belum dilaksanakan mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan sekali gus membantu menstabilkan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Mustapa Mohamed berkata, bagaimanapun kerajaan akan melihat kedudukan kewangan negara dan meneliti perkembangan projek yang terlibat selain mengadakan perbincangan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya telah mengadakan mesyuarat dengan pihak terlibat antaranya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk melihat mana-mana projek sama ada yang telah bermula atau belum dijalankan.

“Kerajaan melihat bagi projek yang belum dilaksanakan kita tidak akan teruskan manakala bagi projek yang telah dilaksanakan kerajaan akan berbincang tentang perkembangan sama ada projek yang mana akan ditangguhkan atau sebaliknya,” katanya selepas merasmikan penutup Seminar Pasaran Buruh dan Pembentangan Hasil Program Outreach Pemprofilan Pencari Kerja Peringkat Negeri Kelantan 2022 sempena Karnival Kerjaya Aspirasi Negara Keluarga Malaysia, di Kubang Kerian di sini hari ini.

Ahli Parlimen Jeli itu memberitahu, langkah tersebut merupakan salah satu inisiatif penjimatan dalaman selain menyahut arahan yang dikeluarkan melalui Pekeliling Perbendaharaan Malaysia.

Katanya, menerusi penjimatan itu ia membolehkan kerajaan menyalurkan peruntukan itu demi  kesejahteraan rakyat di negara ini.

Jumaat lalu media melaporkan kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun Persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah menerusi pekeliling perbendaharaan Malaysia untuk melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN