PASIR MAS : Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dalam perancangan menggantikan tanaman tembakau di Kelantan dan Terengganu dengan jagung bijirin dalam masa terdekat.
Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, tanah tanaman tembakau di kedua-dua negeri itu yang dianggarkan seluas 12,140 hektar akan dijadikan sebagai projek tanaman jagung bijirin.
Menurut beliau, Nafas sedang mengenal pasti status tanah itu sama ada ia milik kerajaan negeri atau ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebelum projek tanaman jagung diusahakan.
“Sehubungan itu, kita bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Eddin Syazlee Shith akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar kedua-dua negeri pada 14 dan 15 Ogos depan bagi membincangkan mengenai perkara tersebut.
“Nafas sudah mengenal pasti beberapa syarikat luar yang mahu melabur untuk projek tanaman jagung bijiran di kedua-dua negeri ini secara besar-besaran nanti,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke 47/2022 PPK Kangkong di sini hari ini.
Zamri berkata, kesemua tanah seluas 12,140 hektar yang merupakan lokasi tanaman tembakau di Kelantan dan Terengganu akan diguna semula bagi tanaman jagung bijiran.
Katanya, daerah terlibat dengan projek itu antaranya Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan manakala di Besut bagi negeri Terengganu.
“Kertas kerja projek tersebut sudah di peringkat akhir. Kita yakin projek ini mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import jagung bijiran yang mencecah RM6 bilion setahun.
“Selain itu, ia juga mampu menyelamatkan pertukaran mata wang asing, memberi peluang pekerjaan dan menambahkan pendapatan ahli PPK,” ujarnya.- UTUSAN