KUALA LUMPUR: Pelakon, Puteri Sarah Liyana memaklumkan dia sudah menerima permohonan maaf secara terbuka daripada individu tidak dikenali selepas memfailkan notis saman fitnah terhadap individu tersebut yang didakwa bercakap perkara tidak benar tentang diri dan rumah tangganya di media sosial.
“Permohonan terbuka dari pihak sana. Terima kasih,” kongsi pelakon itu menerusi Instagramnya.
Dalam gambar kenyataan yang dikongsinya, individu tersebut memaklumkan dia menerima surat tuntutan (LOD) daripada peguam yang mewakili pelakon itu iaitu Natasha Basheer and Associate.
Dalam pada itu, individu tersebut turut mendoakan agar urusan pemilik nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dipermudahkan Allah SWT.
“Saya minta maaf sekali lagi kepada Puteri Sarah dan keluarga beliau yang berasa terkesan dan terasa hati dengan posting Instagram Stories saya.
“Saya doakan semoga Puteri Sarah diberikan ketenangan dan kebahagiaan. Semoga segala urusan dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya.
Pada 30 Jun lalu, pelakon itu memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung gangguan serta pemerasan yang diterimanya daripada Ira Kazar.
Sebelum ini, rumah tangga dia dan Syamsul Yusof didakwa dilanda masalah disebabkan kehadiran orang ketiga. Puteri Sarah juga mengakui dia sudah tidak tinggal sebumbung dengan Syamsul.
Sekadar info, Puteri Sarah, 37, berkahwin dengan Syamsul pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam serta Sumayyah. – UTUSAN