RAUB: Polis daerah ini menyelesaikan kes rompakan, mencederakan seorang pembantu kedai dan perbuatan khianat membakar premis di Felda Tersang Satu di sini, Sabtu lalu apabila tertangkapnya seorang penagih dadah di Felda Sungai Koyan, Lipis, dekat sini petang semalam.
Suspek berusia 50 tahun ditahan pukul 7.15 petang di ladang sawit Felda Sungai Koyan berdasarkan maklumat orang ramai.
Ketua Polis, Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, operasi itu dijalankan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan Balai Polis Cheroh serta pasukan D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
“Ketika cuba menahannya, suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan dengan polis sebelum memberkasnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Kama Azural, polis merampas sebuah beg warna hitam kalis air, wang tunai RM1,420, seutas gelang tangan emas berloceng, dua utas gelang tangan emas, dua unit pemetik api jenama Aladdin dan sebuah pemetik api jenama Cricket daripada suspek.
“Suspek seorang penganggur merupakan penduduk Felda Tersang Satu juga penagih dadah mempunyai sepuluh rekod lampau di bawah kesalahan dadah serta empat rekod pelbagai kesalahan jenayah,” katanya.
Beliau berkata, polis giat menjejaki suspek selepas menerima laporan kejadian pecah masuk dan rompakan sebuah kedai Mara di Felda Tersang Satu pada Sabtu lalu.
Katanya, dalam kejadian antara pukul 1 hingga 2 pagi itu, suspek turut mencederakan seorang wanita pembantu kedai warganegara Indonesia berusia 40 tahun di samping melarikan beberapa barang kemas milik wanita tersebut.
“Siasatan awal polis mendapati, suspek bukan sahaja merompak dan mencederakan mangsa, tetapi melakukan perbuatan khianat dengan api sehingga membakar kedai tersebut,” katanya. – UTUSAN