SEREMBAN: Sebuah stor haram yang dikesan menyimpan 31,215 liter minyak diesel bersubsidi diserbu pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Kampung Bemban Hilir, di sini semalam.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Sembilan, Abd. Muis Samsudin berkata, ketika serbuan pada pukul 5.30 petang itu, terdapat empat orang lelaki sedang menjalankan kerja-kerja pemindahan minyak diesel daripada sebuah lori tangki dan sebuah lori bonded yang diubah suai ke dalam tangki-tangki minyak yang berada di kawasan stor berkenaan.
“Menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa, empat orang suspek tersebut cuba melarikan diri namun berjaya ditahan. Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 11 unit tangki petak dan sebuah skid tank (tangki) berisi dengan minyak diesel yang dipercayai telah dipindahkan daripada lori-lori berkenaan melalui hos,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Abd. Muis, kesemua suspek yang merupakan lelaki tempatan berusia 29 hingga 42 tahun itu telah ditahan untuk membantu siasatan.
“Semakan yang dilakukan dengan suspek yang ditemui juga mendapati premis yang diserbu tidak mempunyai lesen sah atau apa-apa dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan untuk menjalankan urusan barang kawalan bersubsidi diesel.
“Hasil serbuan ini, sebanyak 31,215 liter minyak diesel, sebuah lori tangki, sebuah lori bonded yang diubah suai, sebuah skid tank, tangki-tangki petak dan peralatan digunakan untuk kerja-kerja pemindahan diesel telah disita bagi tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM 269,912.25,” katanya.
Jelas beliau lagi, modus operandi sindiket disyaki telah menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat penyelewengan minyak diesel bersubsidi sejak enam bulan yang lalu.
“Lokasi stor yang agak terpencil juga menjadikan sindiket ini sukar dikesan pada peringkat awal penjejakan.
“Kejayaan kes ini adalah hasil maklumat risikan yang telah dijalankan oleh KPDNHEP Negeri Sembilan yang mendapati terdapat aktiviti pembelian diesel daripada stesen minyak oleh lori tangki berkenaan di sekitar bandar Seremban dan disyaki berlaku aktiviti penghantaran dan penyimpanan di lokasi sasaran,” katanya. – UTUSAN











