Sindiket sorok dadah dalam bungkusan biji kacang tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket sorok dadah dalam bungkusan biji kacang tumpas

ZAZULI Johan (dua dari kiri) menunjukkan bungkusan biji kacang mengandungi dadah ketamin pada sidang akhbar di Nilai, Seremban hari ini. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikesan menggunakan taktik menyorokkan dadah dalam bungkusan biji kacang dengan rampasan keseluruhan bernilai RM13.48 juta.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan tersebut merupakan yang terbesar pada tahun ini dan taktik menyorokkan dalam bungkusan biji kacang pertama kali dikesan di negara ini.

“Bertindak atas maklumat, pada pukul 11 malam, 4 Julai lalu, sepasukan anggota cawangan narkotik JKDM menyita 42 buah kotak di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Hasil pemeriksaan ke atas kotak-kotak tersebut menemukan 49 bungkusan plastik yang mengandungi bahan kristal putih disyaki dadah jenis ketamin dengan berat kasar 245 kilogram (kg) disorokkan bersama biji-biji kacang pelbagai jenis,” katanya dalam sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu pejabat JKDM di Kampung Jijan, Nilai di sini hari ini.

Menurut Zazuli, modus operandi sindiket bagi mengaburi pihak berkuasa adalah dengan cara mengikrarkan barang yang mengandungi dadah sebagai Haricot Vert (kacang hijau) sedangkan di dalamnya terdapat bungkusan kacang yang bercampur dengan serbuk kristal putih disyaki dadah berbahaya.

“Siasatan awal mendapati, dagangan (dadah) tersebut dieksport dari sebuah negara di Eropah kemudian transit di sebuah negara Asia Barat sebelum mendarat di KLIA sebagai destinasi terakhir.

“Hasil risikan mendapati pengimport memalsukan pengikraran semasa proses pengimportan di mana tindakan ini secara langsung menyukarkan tangkapan dibuat ke atas pengimport dagangan tersebut,” katanya.

Jelas Zazuli, bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan suspek terlibat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau, setakat Januari hingga Julai tahun ini JKDM merampas 706 kg dadah pelbagai jenis termasuk 330 kg serbuk dan daun ketum bernilai RM20.48 juta dengan modus operandi yang paling banyak diperoleh adalah rampasan dadah melalui bungkusan kurier selain kargo udara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya