SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan menyaran pengguna Lebuh Raya Utara- Selatan dari arah selatan yang mahu ke ibu negara mencari laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, pengguna dari arah selatan boleh memasuki Plaza Tol Pedas-Linggi dan menggunakan jalan dalam menuju ke Seremban dan seterusnya ke Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas).
“Polis Negeri Sembilan sedia maklum peningkatan kenderaan yang masuk dan melalui negeri ini iaitu anggaran 790,000 buah kenderaan. Jumlah sama dijangka kembali ke tempat kerja masing-masing di bandar dan sekali lagi kesesakan lalu lintas akan berlaku khususnya di lebuh raya dan kali ini dari arah selatan menuju ke Kuala Lumpur.
“Kenderaan mula perlahan bermula dari kawasan Pedas Linggi sehingga ke Senawang serta berdekatan kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban ke Nilai,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, bagi mengurangkan kesesakan pasukannya digerakkan mengawal kira-kira 10 persimpangan lampu isyarat sepanjang laluan dari dari Plaza Tol Pedas-Linggi ke Lekas atau jalan alternatif lain bagi melancarkan perjalanan.
“Penugasan kawalan persimpangan ini bermula pada pukul 4 petang (10 Julai) sehingga pukul 10 malam dan dari pukul 10 pagi hingga ke 10 malam pada 11 Julai.
“Pengguna jalan raya yang melalui laluan alternatif di jalan dalam ini dijangka akan bergerak lebih santai dengan anggaran kelajuan 50 ke 70 kilometer sejam dan disarankan supaya tidak memandu laju dan melulu selain tidak memotong di garisan berkembar,” katanya.- UTUSAN










