PETALING JAYA: Seorang lelaki warga asing maut manakala dua lagi rakannya parah selepas terlibat dalam kejadian pergaduhan di Jalan Tun H.S Lee dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.26 petang itu, anggota bertugas di pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menerima laporan mengenai kejadian.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Delhan Yahaya berkata, siasatan ditempat kejadian telah menemukan tiga lelaki berusia antara 30 sehingga 40 tahun dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.
Kata beliau, pemeriksaan mendapati salah seorang daripada lelaki tersebut telah meninggal dunia manakala dua lagi parah di bahagian badan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.
“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi telah menahan seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan.
“Lelaki berusia 52 tahun itu akan direman esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tambah Noor Delhan, pihaknya kini juga sedang giat mengesan dan mengenal pasti identiti suspek utama yang terlibat dalam kes bunuh ini.
“Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis.
“Kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes ini diperlukam,” jelasnya.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di Talian 03-26002222 atau Hotline polis di talian 03-21159999 selain tampil mana-mana balai polis yang berhampiran. -UTUSAN ONLINE