GEORGETOWN: Seorang lagi mangsa kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, di sini Ahad lalu dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.15 petang ini.
Mangsa, Mohd. Haziq Harris, 34, dilaporkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.
Ketika ini, urusan bedah siasat ke atas mangsa sedang dijalankan di Jabatan Forensik HPP sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Elong, Kepala Batas, malam ini.
Sementara itu, bapa mangsa, Harris Shariff, 71, berkata, dia terkejut dan reda sebaik sahaja menerima berita kematian anak ketiga daripada empat beradik itu setelah dua hari menerima rawatan di hospital.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Mohd. Haziq adalah pada malam Sabtu lalu sebelum anaknya itu keluar bersiar-siar dengan menunggang motosikal ke Pulau Pinang.
“Luluh hati saya sebaik dapat tahu dia terlibat kemalangan pada pukul 6 pagi, Ahad lalu. Saya terus bergegas dari rumah kami di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, Kedah ke Pulau Pinang.
“Saya sempat berpesan kepadanya supaya tidak keluar malam itu kerana sudah lewat, namun dia beritahu akan pulang pagi Ahad.
“Pada pukul 3 petang sebelum itu, dia sudah membeli barangan keperluan rumah termasuk makanan untuk saya dan kucing peliharaan,” ujarnya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HPP.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi Ahad lalu, seramai empat penunggang motosikal maut manakala tiga lagi mengalami kecederaan selepas terbabit dalam kemalangan termasuk dengan beberapa buah kenderaan lain.
Mereka yang terkorban ialah Muhamad Shazwan Hakim, 22; Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25; Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul ,19, dan Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17. – UTUSAN