PADANG BESAR: Tiga individu termasuk seorang wanita yang terlibat dalam aktiviti seludup ganja ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah inap desa di Kampung Kolam di sini, semalam.
Mereka yang bekerjasama menyeludup ganja menerusi jalan tikus di sempadan itu ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 1 petang.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, tangkapan tersebut dibuat hasil maklumat dan risikan pihaknya.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya menemukan ketulan mampat ganja seberat satu kilogram dianggarkan bernilai RM2,500.
“Siasatan awal polis mendapati dua lelaki berkenaan membawa masuk dadah dari negara jiran dengan menyelinap menerusi laluan tikus di sempadan negara sehari sebelum serbuan.
“Mereka kemudian bermalam di sebuah inap desa yang didaftarkan menggunakan identiti wanita tempatan yang turut sama ditahan,” katanya di sini hari ini.
Tambah Mohd. Shokri, dua lelaki tersebut merupakan warga asing manakala wanita berkenaan adalah warga tempatan.
Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 28 tahun.
“Ketiga-tiga suspek merupakan rakan yang bekerjasama dalam sindiket ini manakala dadah yang dirampas mampu menampung bekalan kepada 500 orang penagih.
“Sisatan awal polis juga mendapati sindiket ini beroperasi secara aktif sejak sebulan lalu dengan menyeludup masuk dadah jenis ganja ke negara ini,” katanya.
Katanya lagi, pihak polis memohon perintah reman terhadap kesemua suspek selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
“Kita akan meneruskan siasatan bagi mengesan dan menahan individu lain yang terlibat dalam kes sama dan meminta orang ramai terus menyalurkan maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah kepada pihak polis,” katanya. –UTUSAN ONLINE