PETALING JAYA: Lebih 14 syarikat pembungkusan minyak masak bersubsidi telah dikenakan tindakan termasuk ditarik lesen dan tindakan mahkamah kerana menyeleweng bekalan minyak peket.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, bagaimanapun pihaknya sehingga kini tidak mempunyai indeks ketirisan barangan tersebut.
Beliau memaklumkan, pihaknya cuba melihat peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam proses pembungkusan minyak masak peket untuk memastikan mereka boleh menyumbang bagi mengatasi ketirisan minyak peket.
Rosol menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang ingin mengetahui usaha kerajaan terhadap isu ketirisan minyak masak peket bersubsidi.
Dalam pada itu, Rosol memaklumkan, kerajaan telah membelanjakan subsidi sebanyak RM382 juta untuk menampung minyak masak botol yang ditamatkan kerajaan pada 1 Julai lalu.
Katanya, kerajaan memberikan subsidi tersebut bagi mengurangkan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN










