Seleweng dana PenjanaKerjaya: Tiga lagi individu ditahan

Seleweng dana PenjanaKerjaya: Tiga lagi individu ditahan

dana
ANTARA 3 individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana PenjanaKerjaya di Mahkamah Majistret, Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai tiga lagi individu termasuk seorang wanita ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung isu tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.

Daripada tiga individu tersebut, seorang suspek yang merupakan pengarah syarikat ditahan reman selama empat hari mulai semalam sehingga 22 Julai ini selepas Majistret Mohd. Dinie Shazwan Ab. Shukor membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Di Pahang pula, dua suspek yang merupakan pengurus syarikat ditahan reman selama lima hari mulai semalam sehingga 23 Julai selepas Majistret Nor Izzati Zakaria membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.

Menurut sumber, pengarah syarikat berusia 46 tahun berkenaan ditahan di Ibu pejabat SPRM kira-kira pukul 8.30 malam kelmarin kerana dipercayai mengemukakan Borang Pengesahan Pekerja secara dalam talian yang mengandungi butir matan palsu berjumlah melebihi RM1 juta kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ia bagi memperoleh peruntukan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk melaksanakan Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan sedangkan program itu tidak dilaksanakan sepenuhnya.

Tambah sumber, dua lagi suspek iaitu pengurus syarikat yang masing-masing berusia 46 dan 35 tahun ditahan di Pejabat SPRM Pahang kira-kira pukul 4.30 petang hari sama kerana dipercayai terlibat dengan kesalahan mengemukakan tuntutan palsu kepada Perkeso bagi tujuan sama melibatkan nilai melebihi RM600,000.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Tambahnya, operasi dan siasatan masih diteruskan serta tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan lagi akan dibuat dalam masa terdekat.

Pada 14 Julai lalu, SPRM menahan 37 individu di beberapa buah negeri bagi membantu siasatan berkaitan isu tersebut dan tiga lagi individu ditahan di Johor dan Pulau Pinang sehari kemudian bagi membantu siasatan kes yang sama.

Semalam, dua lagi individu yang merupakan ketua pegawai eksekutif serta pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan dan setakat ini, jumlah keseluruhan suspek yang ditahan menerusi Op Hire adalah seramai 45 individu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN