ARAU: Sektor swasta diharap dapat terus memainkan peranan menerusi kaedah pelaburan masing-masing bagi menjayakan projek baharu Chuping Agro-Valley (CAV) di Perlis.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, inisiatif CAV di negeri ini adalah amat bertepatan dengan dasar sekuriti makanan negara.
“Inisiatif ini juga memerlukan penggunaan teknologi pertanian terkini dan kaedah pertanian moden,” titah baginda sebelum berangkat pulang ke tanah air dari Jepun hari ini.
Bersempena keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin ke Jepun kali ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), turut menyalurkan sumbangan zakat kepada Masjid Otsuma di Minami Otsuka Toshima-ku, Tokyo menerusi wakilnya dari Japan Islamic Trust, Haroon Qureshi.
Dalam perkembangan berkaitan, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Nor’Azam Mohd Idrus berkata, perdagangan produk agro makanan antara Malaysia dan Jepun pada tahun lalu direkodkan berjumlah sebanyak USD 1.21 bilion dengan imbangan dagangan memihak kepada Malaysia iaitu ‘surplus’ USD896.93 juta.
Katanya, antara komoditi yang menjadi penyumbang utama kepada eksport agro makanan negara ke Jepun adalah sediaan makanan, sediaan koko, minyak/lemak, keratan bunga dan perikanan.
“Perdagangan agro makanan Malaysia-Jepun juga adalah sangat baik dan disokong oleh Malaysia Japan Economic Partnership Agreement (MJEPA) berkuatkuasa pada tahun 2005,” katanya. – UTUSAN










