KUALA LUMPUR: Mana-mana pemimpin UMNO yang sebelum ini dilihat tidak sependapat dengan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkemungkinan masih mempunyai peluang untuk ditampilkan sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ahmad Zahid berkata, ini berikutan beliau tidak berdendam dengan mana-mana pemimpin yang tidak sealiran dengannya.
Bagaimanapun, tegas beliau, beliau tidak akan pernah melupakannya meskipun memaafkan pemimpin itu.
“Saya tidak pernah ada tindakan tindakan ‘vindictive’ (bersifat dendam), terbukti dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ada beberapa calon menulis, berucap yang menyentuh perkara ‘below the belt’ (tidak adil) pun mereka jadi calon, begitu juga di Johor.
“Saya tiada sifat dendam, saya akan sentiasa memaafkan, tetapi saya tidak akan melupakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Puteri BN di Pusat Dagangan Dunia (WCT), di sini.
Untuk rekod, beberapa pemimpin UMNO sebelum ini dilihat tidak sehaluan dengan Ahmad Zahid dengan ada antaranya secara terbuka menyerang Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan, gabungan itu tidak akan sesekali menerima semula beberapa pemimpinnya yang meninggalkan parti itu selepas PRU14.
“Kirim salam dan minta maaf banyak-banyak,” ujarnya. – UTUSAN