KOTA BHARU : Seorang warga emas melecur pada bahagian pergelangan tangan kanan semasa berusaha menyelamatkan barangan selepas rumahnya terbakar di Kampung Bunut Payong di sini hari ini.
Kejadian pukul 1.30 petang itu berlaku semasa mangsa Che Madiran Che Ali, 62, sedang membersihkan halaman rumah selepas pulang dari tempat kerja di Kampung Batu 2, di sini.
Che Madiran berkata, semasa sedang menyapu dia terhidu bau hangit dan terus berlari masuk ke dalam rumah membuat pemeriksaan sebelum terkejut melihat api sedang marah di bahagian ruang tamu.
Menurutnya, tanpa berlengah dia terus mengerah kudrat untuk mengangkat televisyen yang berada di ruang tamu rumah berkenaan.
“Ketika mengangkat televisyen itu, lengan terkena percikan api, namun saya tetap menggagahkan kudrat dan keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Che Madiran memberitahu, disebabkan api marak dengan cepat dia hanya mampu melihat rumahnya hangus dijilat api dari jauh
Katanya, dia bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius dalam kebakaran tersebut.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim, Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran yang melibatkan tiga kediaman pada pukul 1.30 petang.
“Seramai 22 anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Darul Naim dan Kota Bharu bergegas ke lokasi kejadian.
“Kita berjaya mengawal kebakaran pada jam 1.57 petang namun setakat ini masih menjalankan siasatan berhubung punca dan kerugian akibat kebakaran itu,” katanya. –UTUSAN










