PETALING JAYA: Tindakan sebuah restoran terkenal dengan hidangan cheese nan menggaji tukang masak warga Pakistan tanpa dokumen mengundang padah apabila premis itu diserbu Jabatan Imigresen.
Serbuan kira-kira pukul 10 malam pada 14 Julai lalu dilakukan Unit QRT dari Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan, Ibu pejabat Imigresen, Putrajaya di restoran terletak di kawasan Bangi.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, hasil serbuan itu, sebanyak empat orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan.
Kata beliau, operasi dijalankan berdasarkan aduan awam yang gusar akan status tukang masak warga asing sama ada mempunyai dokumen yang sah dan sudah mendapat suntikan typhoid untuk pengendali makanan.
“Semasa pemeriksaan dilakukan terdapat beberapa pekerja warga asing bekerja di dalam premis tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati seramai empat orang lelaki warga Pakistan bekerja sebagai pembuat cheese nan dan tukang cuci tidak mempunyai dokumen yang sah untuk bekerja di premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Khairul Dzaimee, pemeriksaan turut dijalankan di asrama kediaman pekerja yang terletak tidak jauh dari lokasi premis.
“Kempat-empat PATI lelaki warga Pakistan yang berusia di antara 26 hingga 44 tahun ini ditahan dan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Selain itu, sebanyak dua notis untuk hadir memberi keterangan turut dikeluarkan kepada pekerja warga tempatan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee mengingatkan orang ramai terutamanya majikan supaya tidak melindungi dan menggajikan PATI. – UTUSAN