KEMAMAN: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun melecur dari leher hingga ke belakang badan selepas dipercayai dibakar beberapa rakannya dalam kejadian di Kampung Perasing Jaya, Jabor dekat sini, semalam.
Kejadian tersebut disedari bapanya selepas mendapati anaknya pulang kira-kira pukul 3 pagi dalam keadaan menangis dan meminta bantuan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, remaja tersebut memberitahu bapanya bahawa badannya telah dibakar rakannya sebelum melihat terdapat kesan melecur di badan anaknya.
“Siasatan awal mendapati, badan mangsa dibakar beberapa rakannya yang menuduhnya mencuri wang bernilai RM100. Mangsa dipercayai disimbah cecair disyaki minyak, sebelum dinyalakan api menyebabkan badan mangsa melecur,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Hanyan berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang dan sedang dirawat di unit rawatan rapi hospital tersebut.
Menurutnya, setakat ini, pihaknya telah menahan lima individu berusia 18 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan.
“Kesemua suspek yang ditahan negatif dadah. Kita masih giat mengesan beberapa lagi suspek termasuk suspek utama,” jelasnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – UTUSAN