Pusat pemulihan akidah bantu tangani pesalah syariah

Pusat pemulihan akidah bantu tangani pesalah syariah

ABDUL Aziz Sheikh Abdul Kadir (baris depan, tengah) bersama peserta Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Negeri Sembilan Kali Ke-6 di Seremban semalam.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) akan mewujudkan sebuah pusat pemulihan akidah bagi pesalah syariah di negeri ini.

Pengerusi MAINS, Datuk Dr. Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir berkata, perkara tersebut kini diperingkat kajian yang turut melibatkan Fakulti Undang -Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Setakat ini, individu yang disabit dalam kesalahan-kesalahan syariah dihantar ke pusat pemulihan di Selangor dan MAINS melihat perlu diwujudkan satu pusat yang hampir sama di Negeri Sembilan.

“MAINS mungkin lebih fokus kepada kesalahan akidah dengan tujuan untuk memperbetulkan dan mendidik balik pesalah-pesalah ini untuk kembali kepada ajaran Islam sebenar .

“Perkara ini masih lagi diperingkat permulaan dan sudah hampir enam bulan ia berjalan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Perundangan Jenayah Syariah Negeri Sembilan Kali Ke-6 di sini semalam.

Abdul Aziz menambah, dana sebanyak RM55,000 juga telah disalurkan kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan bagi menjalankan penyelidikan berkaitan penubuhan pusat pemulihan akidah di negeri ini.

“Penyelidikan ini penting bagi memastikan hukuman alternatif berbentuk pendidikan dan pemulihan di pusat pemulihan akidah itu dapat direalisasikan selain pelaksanaan perintah kehadiran wajib (PKW). Saya menjangkakan pusat ini akan dibina dalam tempoh tiga tahun lagi,” katanya. 

Sementara itu, mengulas mengenai penganjuran konvensyen berkenaan, Abdul Aziz memaklumkan, ia secara tidak langsung menggambarkan bahawa sistem perundangan jenayah syariah dilihat semakin matang dalam mendepani arus cabaran semasa. 

“Konvensyen ini tidaklah dilihat hanya sebagai memenuhi program dwitahunan sahaja, bahkan satu langkah awal yang drastik telah diambil, bagi memastikan hukuman perundangan jenayah syariah diurus dan dilaksanakan dengan lebih dinamik, ” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN