JOHOR BAHRU: Polis memburu seorang lelaki dan dua rakannya yang melarikan tabung wang milik seorang peniaga di kawasan tepi Jalan Arung, Tampoi, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid berkata, kejadian pukul 6 petang itu menyebabkan mangsa berusia 18 tahun mengalami kerugian RM300.
Ketika kejadian, remaja perempuan itu berseorangan menguruskan gerai makan ketika ibunya sedang berehat.
“Ketika itu, suspek iaitu seorang lelaki dipercayai warga tempatan berpura-pura ingin membeli makanan di gerai mangsa, namun telah melarikan bekas wang jualan gerai berkenaan.
“Suspek tersebut melarikan diri bersama-sama dua rakannya menaiki kereta jenis Perodua Axia berwarna hitam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kejadian tersebut dirakam oleh orang awam dan video itu tular dalam media sosial sejak semalam.
Rupiah berkata, suspek yang melarikan diri bersama rakannya menaiki Perodua Axia itu dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Ketika kejadian terdapat orang awam yang membantu mangsa mengejar suspek tersebut, tetapi gagal menghalang kumpulan penjenayah itu.
Polis sedang giat mengesan suspek tersebut dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerusi talian 07-5563122. – UTUSAN