BERASAL daripada keluarga yang serba kekurangan, Achmad Noorasyrul Noortaip, 35, hampir menolak tawaran menyambung pengajian peringkat Diploma Pengurusan Pelancongan ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak kira-kira 17 tahun lalu, gara-gara kemiskinan.
Namun, atas dorongan keluarga, Pengarah Urusan Syarikat Idolegacy Sdn. Bhd. itu akhirnya menjejakkan kaki ke universiti berbekalkan wang kurang RM500 yang diberikan keluarga dan sanak saudara.
“Tanpa pinjaman PTPTN sebanyak RM15,000, mungkin saya tidak dapat ke menara gading dan mengubah nasib keluarga. Saya sangat terhutang budi dan berterima kasih dengan jasa agensi ini membantu saya tidak tercicir daripada pengajian,” katanya di sini kelmarin.
Achmad Noorasyrul dinobatkan sebagai Tokoh Peminjam Berinspirasi dan menerima hadiah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bernilai RM2,000 daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, pinjaman PTPTN kira-kira RM2,500 setiap semester itu dimanfaatkan untuk pembayar yuran, tugasan, sewa bilik, pengangkutan dan sara diri.
Achmad Noorasyrul mengakui ada juga lewat bayar balik, namun berjaya melangsaikan keseluruhan hutangnya pada 2015.
Dalam majlis sama, tiga pendeposit Simpan SSPN dipilih sebagai pemenang Anugerah Tokoh Keluarga Malaysia Berinspirasi kerana meneruskan skim simpanan berkenaan hingga ke generasi ketiga.
Penerima pertama ialah keluarga pesara juruteknik, Amin Yusop, 63, dari Seremban, Negeri Sembilan di samping anaknya Muhammad Hafidzudden diikuti cucu, Yusuff Haider, 4, diikuti keluarga usahawan, Liew Pov Lan, 63, bersama anaknya, Tan Hwee Yee, 30, dan cucu, Elizabeth Koh Yu Ern, 1.
Seorang lagi penerima ialah keluarga K. Tanalatchumy, 50, dari Banting, Selangor di samping anaknya, Dr. S. Sukanthi, 30, dan dua cucu, K. Dharrsan, 2; serta K. Jaanagan, lima bulan.
Sukanthi berkata, ibunya yang merupakan suri rumah mula menabung dalam Simpan SSPN sejak 2005 lagi untuk dirinya dan dua adik lain.
Katanya, tabungan bernilai RM14,000 itu dimanfaatkan bagi menampung serba sedikit yuran pengajiannya sepanjang menuntut di Universiti Gadjah Mada (UGM) di Indonesia.
Sukanthi berkata, tabungan dua anaknya mula dibuka sejak mereka dilahirkan pada 2020 dan tahun ini.
Muhammad Hafidzudden pula bersyukur kerana tabungan Simpan SSPN yang dibuat bapanya sejak 2008 membolehkannya terkecuali daripada memohon sebarang pembiayaan pinjaman pendidikan.
Katanya, sepanjang tempoh itu, bapanya berjaya menabung sehingga RM42,000 bagi kegunaan pengajiannya di Universiti Tenaga Nasional pada 2014, sekali gus nekad mengikut jejak langkah sama selepas cahaya matanya dilahirkan pada 2018. – UTUSAN










