PETALING JAYA: Kemunculan semula Mohd. Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar sebagai pemimpin tertinggi dalam PKR memberi harapan baharu kepada gabungan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, pelantikan pimpinan yang baru selesai dalam parti itu memberi gambaran ada nafas baharu dalam kalangan pimpinan muka-muka baharu dan kumpulan yang berpengalaman.
Menurut beliau, ia sudah pasti memberi semangat baharu kepada anggota terutama di peringkat akar umbi kerana yang penting bukan siapa menduduki jawatan, tetapi kerja-kerja di lapangan.
“Sudah pasti kekuatan PKR akan jadi kebimbangan musuh-musuh politik, maka, saya jangka serangan akan mula bertambah terhadap parti dan kepimpinan dalam pelbagai bentuk perkara, dan ini adalah asam garam dalam politik.
“Nafas baharu dan semangat baharu terutama selepas Kongres Nasional PKR Ke-16 akan diterjemah kepada aktiviti di lapangan.
“Ini akan memberi keyakinan kepada pengundi atas pagar bahawa PKR serius menonjolkan kepimpinan baharu, bawa idea-idea baik dan bernas yang lebih meyakinkan (serta) bahawa PKR dan PH sedia menggalas tugas menerajui Putrajaya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Selain Nurul Izzah, dua lagi yang dilantik sebagai Naib Presiden dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR ialah Saraswathy Kandasamy dan Awang Husaini Sahari yang masing-masing mewakili komuniti India dan Sabah.
Rafizi yang dilihat serasi dengan Nurul Izzah pula Timbalan Presiden PKR.

Empat Naib Presiden PKR yang menang dalam pemilihan sebelum ini ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Majlis Pimpinan Pusat PKR turut meyaksikan beberapa muka baharu seperti Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik; pelakon, Datuk Hans Isaac dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Permatung Pauh, Fahmi Zainol.- UTUSAN










