Produk ubat bernilai RM2.6 juta daripada 2,438 pautan dirampas - Utusan Malaysia

Produk ubat bernilai RM2.6 juta daripada 2,438 pautan dirampas

PETUGAS pelbagai agensi merampas produk ubat dan peranti perubatan tidak berdaftar di premis yang diserbu ketika Operasi Pangea XV. - KEMENTERIAN KESIHATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan merampas produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dengan nilai RM2,652,500 di seluruh negara menerusi Operasi Pangea XV.

Menurut Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, kejayaan itu dicapai hasil kerjasama bersepadu pelbagai agensi yang berlangsung dari 23 Jun sehingga 1 Julai lalu.

“Operasi ini merupakan tindakan kolektif peringkat antarabangsa terhadap penjualan ubat dan produk perubatan yang secara haram. Produk yang tidak berdaftar itu dikesan daripada sebanyak 2,438 pautan laman sesawang dan inisiatif tersebut juga diselaraskan Polis Antarabangsa (Interpol).

“Di peringkat sejagat, lebih 7,800 rampasan produk yang menyalahi undang-undang di 94 negara berjaya dilakukan dengan bilangan penyitaan melebihi daripada tiga juta unit. Bahkan lebih 4,000 pautan laman terutama menerusi platform media sosial dan aplikasi pesanan ringkas disekat. Pihak penguat kuasa memeriksa hampir 3,000 bungkusan pos di 280 hab pos lapangan terbang, pintu sempadan dan pusat mel kargo di negara yang terlibat operasi ini,” jelasnya.

Noor Hisham menambah, di Malaysia operasi itu diselaraskan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian serta ada membabitkan beberapa agensi termasuk Pos Malaysia Berhad selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta CyberSecurity Malaysia yang berjaya menjejak banyak laman berkenaan termasuk yang dianggap dark web.

Senarai pautan tersebut diserahkan kepada Interpol untuk tindakan selanjutnya dan mereka juga mendapati ada peningkatan dalam penjualan ubat terkawal pada operasi tahun ini merangkumi bahan psikotropik, penahan sakit dan antibiotik manakala 686 peranti tanpa kelulusan pihak berkuasa seperti termometer, oksimeter dan monitor tekanan darah dikesan.

“Sepanjang tempoh operasi ini, 73 daripada 1,059 bungkusan pos yang mengandungi 315,916 unit produk tidak berdaftar dengan nilai anggaran RM887,024 dirampas. Kebanyakan ubat terkawal itu diseludup masuk dari Bangladesh, India dan pelbagai negara hasil pemeriksaan ketat di semua pintu masuk utama dan pos sempadan.

“Serbuan bersasar ke atas penjual secara dalam talian yang melibatkan 75 premis termasuk di rumah, salun kecantikan, gimnasium dan kedai barangan haiwan turut dilakukan ketika operasi itu. Hasilnya, sebanyak 244,299 unit produk telah disita dengan nilai anggaran RM1,707,040 yang antara lain turut meliputi produk pelangsing tradisional palsu dicampur dengan sibutramin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN