SEREMBAN: Seorang pesara kerajaan kerugian lebih RM200,000 selepas diperdaya menyertai skim pelaburan secara dalam talian yang menggunakan nama seorang tokoh pelabur saham popular.
Wanita berusia 61 tahun itu memindahkan wang dengan sebahagian besarnya adalah bayaran ganjaran sempena pencen, sebanyak 11 kali kepada beberapa akaun bank milik peribadi dan syarikat semata-mata mengejar pulangan sehingga RM1.5 juta.
Sebaliknya apa yang berlaku, dia akhirnya mengalami kerugian sebanyak RM202,500.
Nasib malang wanita yang dikenali sebagai Ika itu bermula pada 16 Jun lalu apabila dia disenaraikan dalam satu kumpulan sembang dalam talian yang disertai kira-kira 1,000 ahli.
“Setiap hari ahli dalam kumpulan ini bersembang mengenai keuntungan yang mereka peroleh dalam pelaburan saham.
“Keuntungan besar yang mereka raih menarik minat saya untuk menyertainya,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepayang dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri.
Ika berkata, beliau turut bertanya kepada salah seorang ahli dalam kumpulan sembang itu yang tidak dikenalinya mengenai pelaburan saham tersebut.
Individu berkenaan katanya, meyakinkan dia untuk menyertai skim pelaburan itu yang didakwa tidak pernah mengecewakan.
“Saya mula memindahkan wang ke akaun bank milik seorang wanita sebanyak RM1,000 pada 16 Jun disusuli dengan beberapa kali lagi pindahan wang yang berjumlah sebanyak RM185,500, pindahan terakhir dilakukan pada 30 Jun lalu.
“Saya hanya menyedari tertipu apabila menghubungi pengendali laman Facebook tokoh pelabur saham popular itu yang memberitahu mereka tidak pernah menawarkan skim yang telah saya sertai,” jelasnya.
Berikutan itu, Ika membuat laporan polis di Balai Polis Sikamat pada 6 Julai lalu.
Sementara itu, Nicole menasihatkan orang ramai agar tidak menyertai mana-mana skim pelaburan yang tidak berdaftar.
“Aksi beberapa orang muncul memberitahu kononnya mereka telah dapat keuntungan dalam pelaburan saham adalah taktik lama yang kini giat digunakan melalui platform dalam talian.
“Kita mesti mengambil iktibar supaya tidak mudah terjebak dalam apa juga skim yang menawarkan pulangan yang terlalu besar dan tidak masuk akal,” jelasnya. – UTUSAN