Pesan aki@Mat Kilau - Utusan Malaysia

Pesan aki@Mat Kilau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Usah diubah sejarah, sebab sejarah itu fakta benar yang tidak berbohong di mulut pencerita dan penulisnya. Jika diubah sejarah akan pincanglah kehidupan masa depan, Sejarah juga mengajar dan mendidik generasi muda supaya kita tidak mengulangi kesalahan pada masa depan”. Pesan aki kepada cucu-cucunya pagi itu. Aki memang suka bercerita dan ceritanya memang menarik serta sarat dengan falsafah dan buktinya.
“Sejarah merupakan peristiwa, tempat, tokoh dan tarikh yang dapat dibuktikan kebenarannya. Sejarah juga tidak boleh ditokok tambah dan direka. Bukti sejarah perlu dipertanggungjawabkan dari segi sumber dan kesahihannya. Bukti benar penting dalam kehidupan masa depan,” jelas aki.
Aki lahir tahun 1900, kata aki dia sudah banyak rasa asam garam, kepayahan yang dilalui dalam kehidupannya. Kata aki lagi, siapa yang lupa sejarah akan terjerat dalam hidupnya. Aki mengkiaskan, “Seperti pelanduk lupakan jerat”, jika kita lupa sejarah hidup kita akan parah.” Ini pengalaman aki dalam perjuangannya. Dia pernah beberapa kali bertemu dengan Mat Kilau di Jerantut, Pahang.
Peringkat awal kata aki penentangan pemimpin tempatan bermula sebaik sahaja British menjejakkan kaki ke bumi Tanah Melayu. Semuanya berlaku secara spontan demi menjaga kepentingan agama, bangsa dan tanah air daripada diceroboh dan dikuasai penjaja. Mereka menentang campur tangan British dalam hal ehwal dan adat resam, budaya penduduk tempatan. Penjajah memaksa penduduk supaya menerima nilai-nilai mereka yang bertentangan dengan agama dan budaya.
Di atas pelantar rumah aki di Kampung Paya Rambai, Kerdau, Pahang, kami lima orang cucunya mendengar surah dan cerita panjang lebar tentang pahlawan di Pahang. Aki seorang guru dikir rebana dan mempunyai puluhan anak muridnya. Aki juga seorang guru silat dan sangat cekap bermain senjata. Orang Pahang menggelar datuk lelaki sebagai ‘aki’. Aki Mohd. Sidek Chu Ali mendapat cerita Mat Kilau ini daripada ayahnya Chu Ali yang bersama-sama dalam perjuangan menentang kemasukan British dan campur tangan di Pahang.
Di tangan aki ada buku sejarah yang sudah berwarna kuning serta catatannya bertulisan jawi. Sesekali aki melihat buku catatan tersebut sambil meneruskan ceritanya. Raut wajah aki yang bermisai dan tampan itu menggambarkan semangat kepahlawanannya. Buku itu ditulis dan dicatatnya apa yang berlaku dengan tarikh dan peristiwa penting.
Menurut aki faktor penentangan dalam kalangan pejuang dan pahlawan di Pahang disebabkan British campur tangan dalam urusan mengutip cukai, yang diarahkan oleh sultan sebelum itu kepada pembesar negeri dan kemudian membina balai polis bagi menguatkan kedudukan British. Antara pejuang yang mengembalikan kedaulatan bangsa ialah Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau.
Aki meneruskan ceritanya bahawa Mat Kilau ( Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah) sebelum menukar namanya kepada Mohamed bin Ibrahim dengan nama gelaran Mat Siam; 1847– 16 Ogos 1970) merupakan seorang pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajah British di Pahang. Ibu beliau Mahda, anak kepada Tok Kaut Burau.
Mat Kilau dipercayai lahir pada 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Dia mahir mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai Dikir Pahang. Hobi Mat Kilau bermain gasing pangkah dan berlaga buah keras.
Diceritakan oleh aki, pada usia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan Yang Chik Daud yang berasal dari Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut. Imam Daud seorang guru agama disegani di Pulau Tawar dan juga guru mengaji kepada Mat Kilau dan rakan-rakannya. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau dikurniakan tiga anak.
“Setelah berkahwin, Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya lain, bahkan lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris, tombak, lembing dan parang. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya, Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Montok (Haji Uthman bin Senik) mufti Pahang ketika itu,” jelas aki.
Pada masa itu, kata aki, rumah Mat Kilau juga tidak jauh dari gua Kota Gelanggi. Di Jerantut, gua itu masih ada hingga kini. Menurut pendapat orang lama, gua ini boleh menghubungkan Pahang, Terengganu dan Kelantan. Dari gua ini, dia bersama Dato’ Bahaman, Tok Gajah melarikan diri dari British ke Kelantan dan Terengganu.
Menurut aki, keberaniannya sebagai pahlawan terbilang sentiasa diingati hingga ke hari ini. Mat Kilau terkenal sebagai pejuang yang tidak gentar menentang penjajah. Dia turut sama membantu pejuang di Kelantan dan Terengganu dalam membebaskan negeri itu daripada cengkaman penjajah. Tokoh perwira Melayu yang berasal dari Mukim Pulau Tawar ini bangkit menentang penjajahan British pada penghujung abad ke-19 sehingga menjadi buruan, kemudiannya menghilangkan diri dan muncul semula memperkenalkan dirinya pada 1970 ketika berusia 123 tahun.
Aki bercerita lagi sambil melihat buku catatannya bahawa Mat Kilau bersama Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan juga ayahnya serta pengikutnya pada Mac 1892 menyerang dan menawan Balai Polis di Lubuk Terua, Lanchang, Pahang. British rasa tergugat dengan kekuatan serangan itu dan keberanian Mat Kilau bersama rakannya. Pertempuran berlaku dengan askar British menyebabkan British mengaku kalah. Peristiwa ini sangat penting dalam sejarah penentangan penjajahan di Pahang.
Ketika peperangan Semantan meletus, beberapa pembesar Pahang ditangkap bagaimanapun, Mat Kilau terselamat bersama rakan-rakannya dan berundur ke Hulu Kelantan untuk mendapatkan perlindungan. Kemudian, Mat Kilau ke Kuala Berang, Hulu Terengganu kerana mendapat sokongan daripada ulama Terengganu yang terkenal, iaitu Tokku Paloh atau Haji Abdul Rahman Limbong, nama sebenarnya Haji Abdul Rahman bin Haji Abdul Hamid. Di sana, Mat Kilau belajar ilmu agama daripada Tokku Paloh.
Mat Kilau sangat mahir dengan gerak-geri silat Melayu dan jalan denai di hutan yang bersempadan di antara negeri, iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan. Malah, jalan denai dirintis Mat Kilau menjadi laluan pencari kayu gaharu hingga hari ini. Dia mahir selok-belok hutan, malahan mempunyai ilmu firasat cukup tinggi. Beliau juga dikatakan mampu menghilangkan diri.
Pada masa itu perhubungan jalan amat payah. Antara jalan denai dilalui oleh Mat Kilau ialah dari Kampung Bantal di Jerantut ke Kampung Pasir Raja di Dungun, laluan dari Jerantut ke Pasir Nering, Hulu Terengganu dan laluan dari jerantut ke Gua Musang, Kelantan.
Pada 14 Jun 1894, beliau bersama pahlawan Melayu Pahang lain seperti Tok Gajah, Dato’ Bahaman, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi dan Mat Lela berjaya menawan kubu Inggeris di Lubuk Terua, Lanchang, Pahang dan di Jeram Ampai, di Hulu Tembeling, Pahang.
Menurut aki lagi sambil melihat buku catatannya, pada Oktober 1895, laporan akhbar Inggeris, The Free Press yang diterbitkan di Singapura, menyatakan Mat Kilau yang melawan ketika ditangkap mengalami cedera parah pada muka dan kepala. Beliau dikatakan meninggal dunia dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu kerana kehilangan darah yang banyak.
Tersiarnya berita kematian Mat Kilau melalui akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka tamatlah riwayat pahlawan Melayu tersebut. Namun, hal sebenarnya berlaku tidak diketahui kecuali beberapa sahabatnya seperti Mustafa Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali, Chu Ali, Raja Ibrahim (Pak Him) dan Mat Kelantan.
Aki sekali lagi melihat buku catatannya dan bercerita, disebabkan Mat Kilau dikatakan pendehaka oleh British dan disahkan mati dalam Inggeris, dia mengasingkan diri dan tinggal dan menetap di Batu 5, Jalan Kuantan – Gambang. Mat Kilau terpaksa menukar namanya beberapa kali sebagai penyamaran dan akhirnya menggunakan nama Mat Siam. Pada Disember 1969, Tuhan menggerakkan hati Mat Kilau yang pada waktu itu memegang kad pengenalan (K/P) 2044778 dan bernama Mohamad Ibrahim, memperkenalkan dirinya.
Menurut aki lagi, Mat Kilau pernah dikatakan sekitar 1967 hingga 68 menyamar menjual ubat di pekan sehari Kuala Krau, Pahang tetapi kerana mahu meninjau lokasi yang pernah dilewatinya pada masa silam, selain mengintip kalau dapat ketemu rakan-rakan seperjuangannya yang masih hidup.
Aki menjelaskan, orang penting yang memujuk supaya Mat Kilau mengisytiharkan siapa dirinya sebenar pada 1969 itu ialah Cikgu Abu Bakar Hassan (Allahyarham iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri, Pulau Tawar ketika itu dan bekas pegawai belia dan kebudayaan dari Kuantan bernama Zainuddin (orang Pulau Tawar) manakala anak Mat Kilau iaitu Omar di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut hanya menyokong usaha tersebut.
Jelas aki lagi, atas usaha anaknya, Omar, pahlawan itu dibawa ke kampung asalnya, Kampung Masjid, Pulau Tawar. Wartawan Utusan Melayu, Dato’ Haji Alang Ahmad telah menulis dalam Utusan Melayu/Utusan Malaysia dan jadi berita utama kemunculan Mat Kilau dalam Majalah 3 ketika itu.
Akhirnya kata aki, sekitar 1969/1970 heboh tentang kemunculan Mat Kilau diakui dan disahkan oleh tokoh budaya dan sejarah Pahang, Zakaria Hitam (Pak Zek) dan juga Pak Sako, tokoh Sejarah Pahang Dato’ Haji Zainuddin Jumaat ketiga-tiganya kawan aki yang meyakini 99 peratus itu Mat Kilau sebenarnya.
Nama Mat Kilau kini terpahat dalam ingatan penduduk Malaysia khususnya di Pahang kerana kegagahan, keberanian, pengorbanan dan kecekalannya menentang kemasukan dan campur tangan British di Pahang.
Mat Kilau berpesan perjuangan mesti diteruskan oleh generasi muda, jangan biar tanah air tergadai.Jangan jadi seperti buah manggis, air muka dapat dibaca apa yang tersirat di dalam dan jangan sesekali mudah dipicit sehingga terbelah dua. Katanya, penjajah British melihat Pahang kaya dengan emas di Raub dan juga bijih timah di Sungai Lembing.
Pesan Mat Kilau, kata aki – “Lawan musuh yang ramai macam makan bubur panas. Maknanya, kiasannya, makan dulu dari tepi, tak boleh cedok dari tengah, macam orang menebas, repih tepi-tepi dulu” jelasnya.
Pesan aki kepada kami cucu-cucunya – “ Pahlawan Mat Kilau, Dato Bahaman, dan Tok Gajah serta pahlawan tak pernah silau atau tergoda dengan pangkat serta harta dunia. Semangat seperti ini perlu digilap kepada generasi baharu supaya mengenal sejarah pahlawan negara di samping menyedarkan pemimpin Melayu ke arah landasan yang betul menurut tuntutan dan ajaran Islam.” – MINGGUAN MALAYSIA 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.