Pesakit Covid-19 kategori 1-5 di hospital meningkat 33 peratus

Pesakit Covid-19 kategori 1 hingga 5 di hospital awam meningkat 33 peratus

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendedahkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 kategori tiga, empat dan lima Covid-19 ke hospital awam meningkat sebanyak 33 peratus bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-28 tahun 2022 (ME 28/2022). 

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi pesakit bergelaja ringan iaitu kategori satu dan dua juga merekodkan peningkatan sama iaitu 33 peratus.

Beliau berkata, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 33 peratus.

“Jumlah kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan (hospital dan Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah awam) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak sembilan peratus pada ME 28/2022 berbanding ME 27/2022. 

“Bagi pengisian katil fasiliti Covid-19 berbanding ME-27/2022, katil bukan kritikal, meningkat sebanyak dua peratus; katil Unit Rawatan Rapi (ICU), meningkat sebanyak tiga peratus dan katil PKRC, kekal tiada perubahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, jumlah pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.3 peratus.

Katanya, bagi kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara telah menunjukkan peningkatan.

“Perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 27/2022 dan ME 28/2022, bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 23.1 peratus; bilangan kes Covid-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 41.3 peratus dan bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital meningkat sebanyak 18.2 peratus.

“Bilangan kes kematian pada ME 28/2022 pula menunjukkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus (38 kes kepada 39 kes) berbanding ME 27/2022 dengan purata kes aktif setiap hari bagi ME 28/2022 adalah 38,110 iaitu terdapat peningkatan sebanyak 18.6 peratus berbanding minggu sebelumnya,” katanya. 

Dalam perkembangan melibatkan Influenza Like Illnes (ILI) dan SARS sehingga ME 28/2022, Noor Hisham berkata, kadar positif sampel ILI bagi Covid-19 pada ME 28/2022 meningkat sebanyak 8.5 peratus daripada 10.6 peratus pada ME 27/2022 kepada 11.5 peratus pada ME 28/2022. 

“Kadar positif sampel SARI bagi COVID-19 kekal sifar peratus pada ME 28/2022,” katanya. 

Hari ini, Malaysia merekodkan penurunan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 3,936 kes berbanding kelmarin, 5,047 kes sekali gus mengatasi 3,899 kes sembuh.

Berdasarkan laman web https://covidnow.moh.gov.my hari ini, Selangor kembali menjadi negeri tertinggi kes positif iaitu 1,491 kes diikuti Kuala Lumpur (1,055), Perak (268), Pulau Pinang (232), Sabah (231), Negeri Sembilan (187), Melaka (108), Johor (86), Kedah (80) dan Pahang (70).

Diikuti Sarawak (38), Kelantan (32), Terengganu (31), Putrajaya (12), Perlis (8) dan Labuan, tujuh kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN