TUMPAT: Dua penyeludup bertindak meninggalkan sebuah kereta Proton Wira yang sarat mengandungi beras seludup selepas kegiatan mereka itu berjaya dihidu anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di Jalan Kampung Geting, di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, kedua-dua penyeludup bertindak meninggalkan kereta tersebut ditepi jalan selepas dikejar anggota PGA.
Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kejayaan rampasan itu hasil rondaan rutin yang dilakukan oleh PGA menerusi penugusan Op Wawasan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan telah menjumpai pelbagai jenama beras seludup yang disembunyikan di dalam kereta tersebut.
“Sebelum itu, semasa anggota bertugas melakukan rondaan mereka ternampak sebuah kereta Proton Wira yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota PGA kemudian terus menghampiri kereta tersebut, bagaimanapun pemandunya bertindak memecut sebelum kenderaan itu terbabas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Zaki memberitahu, selepas itu kedua-dua suspek terus meninggalkan kereta tersebut dan melarikan diri selepas dikejar anggota PGA.
Katanya, sesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.
Semalam, tular satu video berdurasi 13 saat yang memaparkan anggota PGA mengejar suspek di laman sosial Facebook. – UTUSAN










