Penganggur berdepan hukuman mati bunuh suri rumah

Penganggur berdepan hukuman mati bunuh suri rumah

K. YOGESWARAN bakal berdepan hukuman mati jika didapati bersalah membunuh seorang suri rumah di Felda Mengkuang di Bera, Pahang pada 5 Julai lalu. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Seorang penganggur berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Temerloh di sini atas pertuduhan membunuh seorang suri rumah di Felda Mengkuang, Bera awal bulan lalu.

Tertuduh, K. Yogeswaran, 33, didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Siti Zulliana Said, 52, di sebuah rumah di Felda Mengkuang antara pukul 6.30 pagi hingga 8 pagi, 5 Julai lalu.

Pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan terbabit, Majistret Siti Hajar Ali menetapkan 25 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat dan tiada wang jaminan ditawarkan. 

Dalam pertuduhan berasingan, Yogeswaran mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana secara curang telah mencuri sebuah kereta Honda City milik suami mangsa, Mohd. Haris Ibrahim, 58, di antara pukul 6.30 pagi hingga 8.30 pagi di Felda Mengkuang. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun atau maksimum tujuh tahun dan boleh didenda.

Tertuduh juga turut mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine yang dituduh di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama dan dibaca dengan Seksyen 39B akta yang sama di mana jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun dan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 8 Julai lalu sekitar pukul 12 tengah hari di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera di mana Majistret Siti Hajar menetapkan 19 Oktober sebagai tarikh sebutan semula.

Majistret Siti Hajar menetapkan 17 Ogos bagi tarikh sebutan semula bagi pertuduhan di bawah Seksyen 378 A Kanun Keseksaan dan 19 Oktober bagi pertuduhan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh tidak ditawarkan wang jaminan bagi dua pertuduhan terbabit berikutan tertuduh juga dikenakan pertuduhan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketiga-ketiga pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Nabilah Mohd. Abd. Wahab manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh dalam pada itu turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Temerloh atas pertuduhan dengan curang telah melakukan rompakan wang tunai RM9,300 milik Mohd. Haris dan menyebabkan kecederaan di bahagian leher mangsa di sebuah rumah di Felda Mengkuang. 

Bagi pertuduhan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Faizah Khalilah Sabri dan Farhana Ahmad, tertuduh mengaku bersalah di atas pertuduhan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan terbabit jika disabit kesalahan boleh dipenjara selama sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat. 

Hakim Mahkamah Sesyen Temerloh, Norakhmar Mohd. Sani menetapkan 17 Ogos sebagai tarikh sebutan semula untuk fakta dan hukuman.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, Siti Zulliana ditemukan meninggal dunia di dalam rumahnya di di Felda Mengkuang, Bera, dipercayai dijerut dengan kabel pengecas telefon.

Dalam kejadian itu juga, suami mangsa, Mohd. Haris dikatakan pengsan dan mengalami kecederaan dipercayai dicekik dan dihentak dengan objek keras. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN