Peminjam 'dipaksa' simbah cat untuk lunas pinjaman ah long

Peminjam ‘dipaksa’ simbah cat untuk lunas pinjaman ah long

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Peminjam yang terjerat dengan sindiket ah long dipaksa melakukan ‘kerja kotor’ dengan menyimbah cat atau membaling ‘molotov cocktail’ ke rumah mangsa lain bagi melunaskan hutang mereka.

Bagi perbuatan khianat menyimbah cat mereka dibayar sebanyak RM450 manakala perbuatan khianat dengan api pula menerima bayaran RM800.

Perbuatan suspek tersebut bagaimanapun terbongkar selepas 11 individu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar Johor Bahru pada Khamis dan Jumaat lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek yang ditahan itu termasuk seorang lelaki warganegara Indonesia dan seorang wanita tempatan berusia 19 tahun hingga 46 tahun. 

Katanya, hasil risikan dan maklumat orang awam, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara dan Johor Bahru Selatan melakukan tangkapan antara pukul 4 petang Rabu lalu hingga 4.30 petang keesokan harinya. 

“Kesemua suspek mendapat upah daripada sindiket pinjaman wang tanpa lesen untuk membuat ugutan jenayah, simbah cat dan khianat dengan api ke atas mangsa yang gagal mẹmbuat pembayaran. 

“Hasil siasatan awal mendapati 11 individu ini telah giat aktif melakukan jenayah sejak bulan Mei lalu dengan menerima upah RM450 dan RM800 sebagai upah melakukan khianat simbah cat serta khianat dengan api. 

“Sebahagian daripada suspek yang ditangkap ini adalah peminjam kepada sindiket ah long itu yang dipergunauntuk melunaskan hutang mereka sedikit demi sedikit. Ini adalah modus operandi yang digunakan sindiket itu bagi mengugut mangsa yang lain.

“Siasatan awal mendapati penahanan suspek berjaya menyelesaikan 10 kes di negeri ini dan tiga kes di Seremban, Negeri Sembilan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini. 

Dalam serbuan itu, polis  merampas 17 unit telefon bimbit, tiga kereta, sebuah motosikal, 10 plastik berisi cat warna merah dan wang tunai RM1,295. 

Katanya, sebahagian daripada sasaran sindiket itu ialah pekerja Malaysia di Singapura yang membuat pinjaman antara SG$1,000 hingga SG$3,000 ketika pandemik Covid-19.

“Setelah mangsa melayari pautan iklan wang tidak berlesen dalam media sosial dan memasukkan maklumat peribadi, sindiket memasukkan wang ke dalam akaun peminjam walaupun belum dipersetujui.

“Kemudian sindiket akan memaksa peminjam untuk membuat pembayaran dengan mengenakan kadar faedah yang tinggi selain mengugut untuk menyimbah cat ke rumah atau membakar kenderaan mangsa sekiranya gagal mẹmbuat bayaran,” ujarnya. 

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 dan 435 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya